suria

Bersatu sokong penuh Tun M, tolak peletakan jawatan pengerusi parti

Muhyiddin telah mengadakan pertemuan dengan semua MP Bersatu untuk menyampaikan keputusan parti memberikan sokongan kepada Dr Mahathir.

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat ketetapan untuk memberikan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri.

Dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikan oleh presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa, parti sebulat suara turut menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi Bersatu.

ARTIKEL BERKAITAN: Armada enggan kerjasama dengan Umno, terus sokong Tun M

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu umum keluar Pakatan Harapan

Menerusi kenyataan media oleh Ketua Penerangan Bersatu, Dr Radzi Jidin juga menyatakan kesemua ahli Dewan Rakyatnya telah menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pagi Rabu untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir.

Berikut adalah kenyataan penuh Ketua Penerangan Bersatu, Dr Radzi Jidin:

1. Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan oleh Presiden parti, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 24 Februari 2020 telah membuat ketetapan menyokong penuh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia. MPT juga menolak peletakan jawatan YAB Tun sebagai Pengerusi Bersatu.

2. Sejurus selepas mesyuarat tersebut, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Dewan Rakyat Bersatu untuk menyampaikan keputusan parti supaya mereka terus memberikan kepercayaan kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

3. Kesemua Ahli Dewan Rakyat Bersatu telah menghadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada pagi ini untuk menyatakan sokongan kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

4. Ahli-ahli Bersatu diseru supaya bertenang dan memberikan keyakinan penuh kepada kepimpinan Bersatu untuk menangani situasi politik semasa.

5. Kita yakin bahawa situasi politik ini akan dapat diselesaikan dengan segera. InsyaAllah parti dan negara kita akan muncul lebih gagah dan bersatu padu di bawah kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir.

Bersatu, PPBM, sokong, Tun Mahathir

Artikel Lain