suria

KKM: Produk Energy Candy mengandungi bahan terlarang tadalafil

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk Energy Candy disahkan mengandungi bahan terlarang iaitu racun berjadual ‘tadalafil’.

PRODUK Energy Candy disahkan mengandungi bahan terlarang iaitu racun berjadual ‘tadalafil’.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah erectile dysfunction (mati pucuk) dan ia hanya boleh diberi kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.

Menurutnya, penggunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke  peringkat berbahaya selain kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

ARTIKEL BERKAITAN: Amaran! Henti Jual Produk Tiruan Tati Skincare

Produk terlibat ialah ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

“Larangan pengimportan telah dikeluarkan serta-merta dan KKM ingin memberi amaran kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini agar menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk menerusi dalam talian,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan pada Isnin.

Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 yang  jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Pengguna pula dinasihatkan supaya tidak membeli produk berkenaan.Tadalafil adalah dilarang penggunaannya dalam makanan mengikut akta berkenaan. - BERNAMA

KKM, tadafil, Energy Candy

Artikel Lain