suria

WHO isytihar wabak koronavirus darurat kesihatan global

Pegawai yang memakai sut perlindungan memeriksa seorang lelaki tua bertopeng yang tiba-tiba rebah dan meninggal dunia di atas jalan berhampiran hospital di Wuhan, China, Khamis. -foto AFP

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan dunia, lapor agensi berita Anadolu.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus di ibu pejabat WHO Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva selepas mesyuarat jawatankuasa darurat.

"Ini adalah wabak yang tidak pernah berlaku dan memerlukan tindak balas yang belum pernah dibuat sebelum ini," kata Tedros.

ARTIKEL BERKAITAN: 212 kematian akibat koronavirus dicatat di China, WHO risau negara kurang berkemampuan tak mampu tangani wabak

Pada Rabu Ketua WHO itu tiba dari China selepas bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping.

Beliau memuji China terhadap tindakan pantas kerajaan itu bagi mengekang wabak berkenaan dan berkata, perisytiharan ini bukan hukuman terhadap cara China mengendalikan wabak itu yang mengorbankan 170 orang dengan 8,000 kes dicatatkan.

Tedros menegaskan, sebanyak 98 kes disahkan di 18 negara di luar China.

"Kita bersama-sama dalam perkara ini, dan kita hanya boleh membasminya bersama-sama," kata ketua WHO itu sambil menambah, tiada sebarang cadangan mengenai perjalanan dan perdagangan dibuat setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Darurat WHO, Didier Houssin, memberitahu pemberita meskipun jawatankuasa berkenaan berbeza pendapat sama ada mahu mengisytiharkan darurat global pada mesyuarat minggu lalu, keputusan pada Khamis dibuat hampir sebulat suara.

Novel koronavirus (2019-nCoV), yang mula dikesan di bandar raya Wuhan dikatakan merebak kepada manusia daripada haiwan, terutama kelawar.

Virus ini mencetuskan kebimbangan dunia selepas kes penyakit berkenaan dilaporkan di seluruh Asia, Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada.

Pelancong dari China disaring bagi mengesan penyakit itu di lapangan terbang seluruh dunia.  Beberapa penerbangan sudah pun menggantung penerbangan ke Wuhan. - Bernama

koronavirus, WHO, darurat, kesihatan, global, wabak

Artikel Lain