suria

Banjir di 6 negeri, lebih 1,200 orang dipindahkan

Negeri-negeri yang terlibat dengan bencana itu adalah Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Kedah. FOTO: BERNAMA.

JUMLAH mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di enam negeri yang terlibat meningkat kepada 1,239 orang daripada 363 keluarga setakat pukul 4 petang Ahad.

Negeri-negeri yang terlibat dengan bencana itu adalah Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Kedah.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor terus mencatatkan peningkatan iaitu seramai 743 mangsa daripada 234 keluarga, yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

ARTIKEL BERKAITAN: Subang Jaya dilanda banjir kilat

Jurucakap Smart Selangor Command Center (SSCC) berkata PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, Jeram, terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir dengan rekod terkini seramai 536 orang daripada 148 keluarga berbanding 492 mangsa pagi tadi.

"PPS di SK Ijok turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa di mana kini dihuni 72 orang mangsa daripada 49 keluarga berbanding 32 orang pagi tadi. Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Desa Coalfields, kekal 89 orang mangsa daripada 22 keluarga, manakala di SK Jaya Setia pula seramai 46 orang mangsa daripada 15 keluarga," katanya kepada Bernama.

Di Negeri Sembilan, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jelebu, mangsa banjir di daerah Jelebu yang ditempatkan di dua PPS, iaitu PPS Balai Raya Kampung Juntai dan Masjid Kampung Jerang, meningkat kepada 69 orang daripada 23 keluarga, berbanding pagi tadi seramai 38 orang daripada 16 keluarga.

Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 200 mangsa petang ini berbanding 198 mangsa tengah hari tadi, yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), setakat 2.27 petang tadi, kesemua mangsa itu ditempatkan di dua PPS masing-masing di daerah Kerian dan Hilir Perak.

“Seramai 69 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan di daerah Hilir Perak, manakala di PPS SK Changkat Lobak, Jalan Selama di daerah Kerian pula masih menempatkan seramai 131 orang membabitkan 30 keluarga,” katanya.

Menurut portal itu lagi, seramai 10 orang daripada empat keluarga masih ditempatkan di PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Teras, Ijok dekat Batu Kurau, di daerah Larut Matang dan Selama, susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada Jumaat lepas.

Di Johor, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Johor melibatkan dua daerah, kekal 105 orang daripada 24 keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata petang ini, seramai 89 orang daripada 21 keluarga masih ditempatkan di PPS di SK Melayu Raya di daerah Pontian, dengan mangsa yang terlibat adalah dari Kampung Sepakat Jaya, Kampung Melayu Raya, Kampung Maju Jaya, Kampung Pak Khalid dan Kampung Paya Embun.

Menerusi satu kenyataan ringkas, beliau berkata seramai 16 mangsa daripada tiga keluarga di Batu Pahat masih ditempatkan di PPS SK Sungai Kajang sejak 23 Okt lalu.

MetMalaysia menerusi laman sesawangnya meramalkan seluruh negeri di Semenanjung, Wilayah Persekutuan Labuan serta Kudat dan Sandakan di Sabah akan mengalami ribut petir di beberapa kawasan pada Isnin. FOTO: BERNAMA.

Di Pulau Pinang, seramai 94 mangsa banjir di Bukit Mertajam masih ditempatkan di PPS sehingga petang ini dan jumlah itu semakin berkurang berbanding 147 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata sehingga pukul 4 petang ini tiga PPS masih dibuka dan menempatkan 25 keluarga.

Phee berkata seramai 46 orang daripada 10 keluarga masih berada di PPS Dewan Orang Ramai Taman Sukun manakala di Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh seramai 22 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di dewan itu dan 26 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di sebuah lagi PPS iaitu di Tadika Kemas Kampung Manggis.

Menurutnya lagi mangsa banjir membabitkan penduduk Kampung Manggis telah ditempatkan di PPS itu sejak Selasa dan sehingga hari ini air masih belum surut sepenuhnya, berikutan hujan yang kerap turun pada waktu petang dan malam.

Di Kedah, sebuah PPS bagi menempatkan 28 mangsa banjir daripada sembilan keluarga dibuka di Pendang kira-kira 2.15 petang tadi.

Menurut info bencana banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat mereka ditempatkan di Dewan Serbaguna Pendang selepas air Sungai Pendang melimpah memasuki kediaman penduduk terutama yang menetap di tepi sungai, melibatkan antaranya Kampung Sukamari, Kampung Hampar Kanan, Kampung Batu Hampar, Kampung Banggol Kambing dan Kampung Tanah Merah Dalam.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman sesawangnya meramalkan seluruh negeri di Semenanjung, Wilayah Persekutuan Labuan serta Kudat dan Sandakan di Sabah akan mengalami ribut petir di beberapa kawasan pada Isnin.

Turut dijangka mengalami ribut petir di beberapa daerah di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit dan Bintulu.- BERNAMA

Artikel Lain