suria

Warga emas maut tertimbus tanah runtuh - “Masa itu saya sedang sembahyang sebelum dengar bunyi kuat”

Kira-kira 82 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu. FOTO: BERNAMA.

SEORANG lelaki warga emas dijumpai mati tertimbus selepas rumahnya di Kampung Teras, Ijok, dekat Baru Kurau dihempap tanah runtuh dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Selama, Perak, DSP Mohd Sabri Saad, mayat Hanudin Bahazim, 60, ditemui tertimbus di bahagian dapur oleh pasukan mencari dan menyelamat pukul 10.31 malam, Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut, 12 hilang dalam kejadian tanah runtuh di P.Pinang

"Tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, isteri mangsa Milah Che Pi, 51, berkata semasa kejadian suaminya sedang tidur di bahagian dapur rumah mereka.

"Masa itu saya sedang sembahyang sebelum dengar bunyi kuat di bahagian dapur. Runtuhan itu berlaku dengan pantas," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri memaklumkan, hujan lebat turut mengakibatkan sebahagian Jalan Rantau Panjang-Lata Tebing Tinggi runtuh.

Katanya jalan yang runtuh adalah sepanjang 200 meter dan kini ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri mengambil maklum berhubung kejadian tanah runtuh yang telah menjejaskan tiga buah rumah di kampung berkenaan.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai dan anggota penyelamat serta jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang telah terlibat dalam misi mencari dan menyelamat selain membantu semua mangsa di lokasi,” katanya.

Difahamkan kira-kira 82 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta pasukan perubatan Kementerian Kesihatan. - BERNAMA.

Artikel Lain