suria

Pengeluaran KWSP untuk rawatan kesuburan cetusan idea Tunku Azizah

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. FOTO: BERNAMA.

CADANGAN supaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan bagi menjalani rawatan kesuburan persenyawaan luar rahim (in-vitro fertilisation) mendapat reaksi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi satu perkongsian di Twitter, Tunku Azizah bertitah bahawa ia merupakan idea yang diusulkan baginda pada 2011.

"Pada 25 Mac 2011 semasa kongres The Malaysian Society for Assisted Reproductive Technology selama enam hari, saya bangkitkan idea itu kepada Kementerian Kesihatan. Ketika itu saya menerima anugerah atas sumbangan dalam membantu pasangan yang tiada zuriat," titah baginda di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini cucu saya nombor 82” – Tunku Azizah

ARTIKEL BERKAITAN: Intipati Belanjawan 2020

Menerusi posting itu, baginda turut berkongsi paparan skrin berita mengenai hal itu dari akhbar The Star berjudul EPF withdrawal for fertility treatment? yang diterbitkan pada Jumaat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, KWSP bakal memperkenalkan kategori pengeluaran baharu untuk suami isteri yang mahu menjalani rawatan seperti IVF.

Perkongsian baginda di Twitter.

Dalam pada itu, posting Tunku Azizah turut menerima reaksi netizen yang bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Tidak kurang juga yang menzahirkan rasa terima kasih kepada baginda dan pihak kerajaan atas usul berkenaan.

"Junjung kasih Tuanku dan terima kasih kerajaan.

"Ambil masa lapan tahun untuk idea bernas ini diperkenalkan. Saya rasa kerajaan perlu dengar lebih banyak daripada minda hebat seperti Tuanku," tulis beberapa netizen.

Untuk rekod, Tunku Azizah merupakan pengasas kepada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

TAFF ditubuhkan bagi menyediakan bantuan kewangan dan membantu pasangan suami isteri Malaysia yang kurang berkemampuan dan yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan negeri dalam mencari dan mendapatkan rawatan perubatan serta menyediakan kaunseling dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan.

Artikel Lain