Terima kunjungan Agong, “Saya berasa menggeletar dan berpeluh tangan apabila Tuanku datang ke rumah” - Semasa | mStar

Terima kunjungan Agong, “Saya berasa menggeletar dan berpeluh tangan apabila Tuanku datang ke rumah”

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bersama keluarga Shariff Bahsoon (dua,kanan) yang merupakan masyarakat Orang Asli ketika baginda melawat perkampungan Sungai Ruil pada Ahad. FOTO: BERNAMA.

"SAYA berasa menggeletar dan berpeluh tangan apabila Tuanku (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) datang ke rumah," kata Ramlah Junus, penduduk Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Cameron Highland, Pahang.

Ramlah, 54, ketika ditemui Bernama berkata, beliau tidak menyangka Yang di-Pertuan Agong berkunjung ke kediamannya dan menganggap ia sebagai rezeki yang tidak disangka.

"Semasa tuanku datang ke rumah ini, saya sedang mengemas rumah. Saya memang tak sangka langsung sebab tidak diberitahu lebih awal Tuanku mahu datang ke sini.

"Saya ada memberitahu kepada Tuanku mengenai masalah air dan jalan (raya) yang dihadapi di kampung ini," katanya yang tinggal di kampung itu sejak lahir dan mempunyai enam anak.

Sementara itu, Tok Batin kampung berkenaan, Kader Hasan, 50, mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana berkenan melawat serta beramah mesra dengan penduduk kampung ini.

"Saya berpeluang bersembang serta berbincang masalah setempat dengan Tuanku mengenai isu air dan tanah berhampiran kampung ini yang perlu diwartakan," katanya yang juga penduduk generasi kelima di kampung ini.

Beliau berkata, kampung ini mempunyai 271 keluarga dengan penduduk seramai 1,100 orang.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan melawat, beramah mesra, mendengar permasalahan penduduk serta menyampaikan sumbangan kepada Ketua Isi Rumah.- BERNAMA

Artikel Lain