suria

Kunjungi Halfest Jakim 2019, 7 produk unik halal ini perlu anda tahu!

Halfest Jakim 2019 sedang berlangsung sehingga Ahad 8 September 2019 di MIECC di Seri Kembangan di Serdang, Selangor. Foto IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

HIPSTER, trendy dan popular, kini menjadi ikutan masyarakat kita terutama anak-anak muda dalam menggunakan sesuatu produk dan perkhidmatan.

Pada masa sama, kesucian produk dan perkhidmatan itu amat dititikberatkan dalam masyarakat Muslim dengan kebanjiran pelbagai jenama di pasaran.

Ekspo halal terbesar Malaysia, Halal Fiesta Malaysia atau Halfest Jakim 2019 yang sedang berlangsung di Pusat Konvesyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) di Seri Kembangan di Serdang, Selangor, bagaikan menepati citarasa pengguna Muslim mengenai kepentingan pensijlilan halal.

Di sini, pengguna dapat meninjau pelbagai produk yang mungkin selama ini terdapat keraguan pada status halalnya.

Antara ruang pameran di Halfest Jakim 2019.

Portal mStar berkesempatan meninjau Halfest Jakim 2019 dan menyenaraikan tujuh produk yang was-was dalam kalangan Muslim tapi kini mendapat pensijilan halal.

1. Telur masin Hook

Isu telur masin sering dibangkitkan kerana didakwa bercampur najis dan bahan-bahan yang diharamkan syarak. Malah, kebanyakan produk berasaskan telur masin di pasaran didapati di premis khususnya restoran bukan halal. Tetapi tidak bagi Hook kerana semua produk berasaskan telur masin mendapat pensijilan halal daripada Jakim.

Pengasas Hook Allianze, Andrew Ng berkata, masyarakat mempunyai persepsi bahawa telur masin tidak halal tetapi bagi produk Hook, proses pemprosesannya bermula daripada bahan mentah memenuhi piawaian yang ditetapkan bagi mendapat pensijilan halal.

Andrew tengah bersama kakitangannya memegang produk Hook.

“Budaya orang Cina suka makanan masin seperti telur masin yang dijadikan sebagai pembuka selera. Dengan status halal ini, sesiapa sahaja boleh memakannya terutama orang Cina Muslim yang selama ini tercari-cari makanan berasaskan telur masin halal,” katanya.

2. Teh halia Black Sugar Dynasty

Kebanyakan air minuman berasaskan herba Cina di pasaran diragui status halal kerana mengandungi gelatin dan bahan-bahan daripada haiwan lain. Malah, beberapa premis minuman di pusat membeli-belah sendiri memaparkan papan tanda ‘tidak halal’ di pintu masuk.

Namun, produk daripada Taiwan oleh Black Sugar Dynasty Enteprise yang berpangkalan di Malaysia, mempunyai pensijilan halal.

Yi Ching menunjukkan teh halia daripada Black Sugar Dynasty.

Pengurus Jualan Serantaunya, Kim Yi Ching berkata, produk-produk keluaran syarikatnya hanya mengandungi bahan berasaskan sayur-sayuran.

“Bagi sebahagian produk jenama lain mengandungi gelatin yang tidak disahkan halal. Bagi produk kami tidak mengandungi bahan pengawet haiwan,” katanya.

3. Wangian Perfume Heaven

Kenapa segelintir produk wangian dipromosikan sebagai ‘mesra wuduk’ dan ‘mesra solat’ tetapi tidak mempunyai pensijilan halal? Mereka hanya membuat pengisytiharan sendiri tanpa pembuktian secara sah.

Bagi wangian Perfume Heaven, ia tidak mengandungi bahan terlarang, bahan meragukan mahupun bahan-bahan daripada haiwan.

Muhammad Sharizal bersama sebahagian himpunan wangian yang dikilangkannya.

Pengasasnya, Muhammad Sharizal Saidin berkata, pengguna perlu tahu dari segi kebersihan produk yang digunakan itu.

“Kami bukan sahaja mempunyai produk wangian untuk pengguna, malah menjadi pengilang kepada mereka yang mahu mengusahakan bisnes haruman yang disahkan halal. Kami ada 100 wangian yang mana antaranya inspirasi daripada jenama wangian antarabangsa,” katanya.

4. Kopi import Arissto

Mungkin ramai menyangka kebanyakan produk minuman kopi adalah halal. Tetapi bagaimana dengan produk kopi yang diimport dari luar negara kerana bukan semua mempunyai pensijilan halal.

Pengurus Pemasaran Arissto (Malaysia) Sdn Bhd, Ezriq Sajad berkata, produk kopi Arissto bukan sahaja mendapat pensijilan halal, malah ia adalah 100 peratus daripada Itali.

Arissto menawarkan pakej sewaan mesin kopi.

“Bukan setakat serbuk kopi, kami juga menawarkan sewaan mesin kopi untuk menikmati minuman dengan lebih segar. Selain kopi, kami juga menyediakan minuman teh dan coklat dengan ramuan lebih sihat untuk pengguna,” katanya.

5. Makanan tambahan untuk lelaki Safwa Health

Kaum lelaki kini semakin rajin bersenam di gim dan mengambil makanan tambahan untuk mengekalkan kecergasan otot. Bagaimanapun, kebanyakan produk makanan tambahan untuk kecergasan dan tenaga lelaki di pasaran khususnya yang diimport tidak berstatus halal.

Bagi produk Safwa Health, ia menawarkan formula lelaki yang mempunyai pensijilan halal, membantu meningkatkan hormon testosteron, tenaga seharian dan kecergasan lelaki dan menambah tenaga fizikal serta mental.

“Produk ini sesuai untuk mereka yang mahu sado dan membina tenaga, tanpa perlu bimbang sebarang keraguan dalam kandungan dan bahan-bahannya kerana ia disahkan halal,” kata Eksekutif Pemasaran Safwa Health, Nor Rsham Yaacob.

Makanan tambahan untuk lelaki bagi membantu mengekalkan kecergasan otot.

6. Kosmetik MiniQueen

Alat solek begitu sinonim buat kaum wanita, namun bagi Muslimah mungkin mengalami kesukaran menanggalkan mekap setiap kali mahu menunaikan solat.

Bagi MiniQueen Comestics, himpunan kosmetiknya mesra wuduk yang mudah untuk ditanggalkan sebelum mengambil wuduk.

“Ia tidak melekit dan tidak berminyak. Cara untuk menanggalkannya juga lebih mudah dengan bilasan air berbanding produk kosmestik sedia ada, sebelum mengambil wuduk,” kata pengasas bersamanya yang lebih dikenali sebagai Khaire.

Khaire merias wajah seorang pengunjung.

7. Susu tepung formula untuk kanak-kanak N7plus

Ibu bapa amat meniktiberatkan bahan-bahan yang digunakan dalam minuman dan makanan untuk bayi dan anak-anak kecil mereka.

Selain mempunyai pensijilan halal, produk susu tepung formula untuk kanak-kanak keluaran Madina iaiu N7Plus yang mempunyai tujuh kelebihan antaranya membantu perkembangan otak dan minda yang cergas, membantu menambahkan selera makan kanak-kanak, membantu menambahkan sel darah merah dan membantu untuk mengatasi masalah sembelit.

“Susu formula N7Plus juga mengandungi bahan kismis dan getah Arab, Al Manna, yang membantu menajamkan memori dan minda,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Madina Food Industries, Muhammad Rizal Osman.

Susu tepung formula untuk kanak-kanak yang mengandungi kismis dan Al Manna yang merupakan makanan sunnah.

Halfest Jakim 2019 merupakan usahama Jakim dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dalam mengetengahkan usahawan dari golongan asnaf serta mempromosi budaya halal bukan sahaja kepada usahawan dan pengguna Islam, tetapi juga bukan Islam dengan memberikan pendedahan yang lebih terperinci mengenai produk dan perkhidmatan yang dipersijilkan halal.

Ia merupakan penganjuran edisi ke-8 sejak 2011, dan tahun ini menyaksikan lebih 520 ruang pameran dengan 7,000 produk unik halal diketengahkan sebagai tarikan kepada pengunjung.

Mula dibuka kepada orang ramai sejak Rabu 4 September sehingga Ahad 8 September 2019, dan waktu operasi pada Sabtu dan Ahad adalah dari pukul 10 pagi hingga 9 malam.

Kemasukan adalah percuma! Anda hanya perlu mendaftar di kaunter pendaftaran di MIECC.

Halfest, Jakim, Maiwp, halal, MIECC

Artikel Lain