suria

Terima kejutan... Hari Keputeraan Agong dirai

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melihat kek yang disediakan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena hari keputeraan baginda ke-60 selepas Majlis Santapan Diraja sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara. Foto Bernama

NYANYIAN lagu ‘Allah Selamatkan Tuanku’ berkumandang di Istana Negara pada Rabu malam, sebagai kejutan bagi meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-60.

Kejutan itu berlangsung ketika Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersedia untuk berangkat pulang bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha selepas selesai menghadiri Majlis Santapan Diraja pada Rabu malam.

“Allah Selamatkan Tuanku, Allah Selamatkan Tuanku, Allah Selamatkan Duli Tuanku, Allah Selamatkan Tuanku.

Bait lagu tersebut dinyanyikan penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah dan anak-anak Permata Seni Koir yang turut disertai oleh tetamu yang hadir.

Seri Paduka kemudian dipersembahkan kek berbentuk singgahsana dan berkenan untuk memotong kek tersebut di hadapan lebih 700 tetamu yang hadir pada majlis itu.

Lebih manis, Tunku Azizah berkenan menyuapkan Seri Paduka potongan kek tersebut dan kemudian memberikan salam hormat serta pelukan.

Seri Paduka berdua kemudian turut berkenan bersalaman dan bergambar dengan tetamu yang hadir sebelum berangkat meninggalkan majlis. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain

Gempar bayi perempuan lahir ada ekor berbulu