suria

Bapa Zulfarhan sujud syukur, ibu sebak

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain untuk membela diri.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azman Abdullah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

"Selepas membuat penilaian maksimum, mahkamah dengan ini mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie ke atas kes yang dipertuduhkan. Kesemua tertuduh dengan ini dipanggil membela diri," katanya.

Enam daripada tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri; dan Abdoul Hakeem Mohd Ali diperintah membela diri daripada pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman.

Kesemua tertuduh yang berusia 23 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada masa yang sama keenam-enam mereka bersama 12 lagi turut diarah membela diri atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

12 penuntut lain yang kesemuanya berumur 23 tahun ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Mohamad Syazwan Musa.

Bagaimanapun 'rahmat' bagi Muhammad Akmal Akif Alias, apabila dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala antara peguam yang mewakili tertuduh-tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dillon, AG Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus dan Datuk Hazman Ahmad. - Sinar Harian

Zulfarhan, UPNM

Artikel Lain