suria

Zahid kembali galas tugas presiden Umno selepas bercuti 6 bulan

Ahmad Zahid Hamidi.

SELEPAS bercuti selama enam bulan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akhirnya mengumumkan akan kembali mengalas tugas sebagai Presiden Umno berkuat kuasa serta merta.

Pengumuman itu dibuat sempena genap setahun beliau dilantik menerajui jawatan tersebut.

"Oleh kerana genap setahun dipilih, bukan dilantik oleh perwakilan Umno seluruh negara... 191 bahagian, maka genap setahun ini cukup signifikan, cukup penting kepada saya.

"Oleh demikian, 30 Jun 2019... saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti sebagai presiden Umno mulai hari ini.

"Ini bererti mulai hari ini (Ahad), saya akan terus menyanjung tugas sebagai Presiden Umno Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Perak pada Ahad.

Terdahulu, Sebelum ini, bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan bahawa Ahmad Zahid boleh kembali menerajui semula parti walaupun tanpa persetujuan pihak lain termasuk MT.

Beliau berkata keputusan itu terpulang ke atas Ahmad Zahid sendiri sama ada mahu kembali meneruskan tugas sebagai kepimpinan utama parti tersebut.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pada Ahad menyarankan agar status kedudukan Ahmad Zahid sebagai presiden parti itu dibincangkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Khairy berkata, pihaknya kurang bersetuju sekiranya perkara itu hanya diputuskan Ahmad Zahid sahaja berikutan sepanjang tempoh beliau bercuti, tugas berkenaan telah digalas MT dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tambah beliau sekiranya Ahmad Zahid ingin kembali aktif dalam politik, perkara tersebut sewajarnya perlu dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat MT terlebih dahulu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain