suria

2 mangsa pesawat terhempas dikenal pasti

Bangkai pesawat ringan jenis glider yang sudah terbakar ditemui. - FOTO IHSAN POLIS.

MANGSA pesawat ringan jenis glider atau pesawat layang yang ditemui terhempas di kawasan Purun, Kuala Klawang, Jelebu sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa ialah lelaki warga Amerika Syarikat (AS) dan lelaki tempatan berusia 50-an.

Menurutnya, kedua-duanya kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban selepas dirujuk dari Hospital Jelebu.

"Warga AS itu melecur di kepala, tangan kanan dan kedua kaki. Rakyat tempatan itu pula melecur di muka, tangan dan kaki.

“Selepas insiden itu mereka dihantar ke Hospital Jelebu oleh orang awam. Mereka memberi alasan kepada pihak hospital yang kecederaan dialami akibat bengkel tempat bekerja terbakar,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Namun kata Kamarul Rizal, disebabkan kecederaan dialami mangsa, mereka dihantar ke HTJ untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, bangkai pesawat ringan jenis glider ditemui di kawasan Purun 3.30 petang semalam, dipercayai terhempas.

Polis yang menerima maklumat orang awam ke lokasi, namun tiada mangsa ditemui. - Sinar Harian.

pesawat ringan, glider, terhempas

Artikel Lain