Sik, Chuping diramal alami kemuncak suhu panas - Semasa | mStar

Sik, Chuping diramal alami kemuncak suhu panas

BEBERAPA kawasan di utara semenanjung terutama di Sik, Kedah dan Chuping, Perlis diramalkan akan mengalami kemuncak suhu panas sehingga 38 darjah Celcius pada akhir bulan ini atau awal April.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata kemuncak suhu panas itu akan berlaku berikutan fasa penghujung monsun timur laut.

"Sekarang ini suhu akan terasa makin panas. Apabila sampai ke suhu yang kemuncak iaitu sekitar hujung Mac ini atau awal April, kita jangkakan suhu di beberapa kawasan akan mencapai sehingga 38 darjah Celcius.

"Bila suhu panas mencapai kemuncak, suhu di satu atau dua kawasan mungkin berada di tahap kedua iaitu tahap suhu maksimum boleh melebihi 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut dan kawasan panas ini biasa berlaku di Sik dan Chuping," katanya.

Mohd Hisham berkata, berdasarkan status gelombang haba ketika ini, lapan kawasan di negeri utara iaitu masing-masing di Chuping, Perlis; Kota Setar, Pendang, Sik dan Kulim di Kedah serta Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak berada di tahap berjaga-jaga iaitu suhu maksimum harian mencapai 35 hingga 37 darjah Celcius.

“Bulan lalu, hanya tiga kawasan iaitu di Chuping, Sik dan Kota Setar yang berada di tahap berjaga-jaga, tetapi sehingga semalam jumlah kawasan yang berada di tahap berjaga-jaga meningkat hingga lapan kawasan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Hisham berkata kemuncak suhu panas dijangka tidak berpanjangan dan suhu akan kembali beransur normal apabila berganti dengan fasa peralihan monsun pada April atau awal Mei.

"Kemuncak suhu panas ini hanya sekejap dan akan beransur reda kerana ketika fasa peralihan monsun biasanya jumlah hujan akan lebih banyak iaitu sekitar 200 hingga 300 milimeter (mm) sebulan berbanding ketika ini hanya 50 mm sebulan.

"Kita juga sedang pantau bila monsun timur laut ini akan berakhir. Kita lihat sekurang-kurangnya 21 haribulan (Mac) dan ke atas ia (monsun timur laut) akan tamat dan bila peralihan monsun, kita akan menerima hujan kebiasaannya setiap petang," katanya dan menambah fenomena cuaca panas ketika ini adalah fenomena biasa yang melanda negara.

Mengulas mengenai kejadian jerebu, Mohd Hisham berkata cuaca panas ketika ini tidak membawa jerebu yang signifikan kepada negara memandangkan jerebu biasanya berlaku ketika monsun bara.

“Jerebu yang signifikan, yang menyeluruh biasa berlaku ketika monsun barat daya iaitu apabila angin bertiup dari arah Sumatera atau Kalimantan masuk ke negara kita. Itu berlaku biasanya antara Ogos hingga Oktober.

“Sekarang ini, angin bertiup dari Laut China Selatan dan impak jerebu adalah tidak signifikan. Kalau berlaku jerebu pun, ia hanya jerebu setempat yang disebabkan aktiviti persekitaran seperti kebakaran kecil dan ia bukan jerebu yang merentasi sempadan,” katanya.

Berdasarkan portal Jabatan Alam Sekitar, sehingga 5 petang ini, sebanyak 56 stesen mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana iaitu dengan bacaan 51 hingga 100 sementara 10 stesen lagi mencatatkan IPU pada tahap baik iaitu bawah 50.

Sementara itu, kekurangan hujan dan angin ketika ini menyebabkan berlakunya kebakaran hutan di beberapa kawasan.

Di Perak, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) negeri itu terpaksa menggunakan kaedah bom air melibatkan penggunaan helikopter bagi memadam kebakaran kawasan hutan bukit seluas 16.19 hektar di Gunung Laba berhampiran Kampung Air Ganda, Gerik yang terbakar sejak Khamis.

Kebakaran melibatkan dua bukit iaitu Bukit Laba dan Gunung 7.

Ia berlaku berdekatan perkampungan Orang Asli di Kampung Sungai Papan iaitu jarak dari kebakaran kira-kira 1.5 kilometer.

Bagaimanapun, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang perpindahan penduduk.

Sementara itu, kebakaran Hutan Simpan Gunung Korbu seluas lapan hektar di Sungai Siput yang dilaporkan berlaku sejak empat hari lalu berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Di Terengganu, operasi memadamkan kebakaran tanah gambut seluas lima hektar di Kampung Bahagia, Setiu yang masuk hari kedua ditangguhkan sehingga 6 petang dan disambung pada Sabtu.

Kesukaran mendapatkan sumber air di kawasan itu dan kebakaran tanah gambut dengan kedalaman sehingga 0.91 meter turut menyebabkan kebakaran tersebut lambat dipadamkan. - BERNAMA

Sik , Chuping , panas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain