suria

IMAM, FIMA sokong wajibkan suntikan vaksin bayi, kanak-kanak

PERSATUAN Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan Persatuan Perubatan Islam Antarabangsa (FIMA) menyokong penuh saranan mewajibkan vaksinasi kepada bayi dan kanak-kanak untuk mengelakkan kecacatan dan kematian di kalangan kelompok itu.

Presiden IMAM, Dr Jeffrey Abu Hassan dan Pengerusi Majlis Penasihat Gabungan FIMA, Datuk Dr Musa Mohd Nordin dalam kenyataan bersama pada Jumaat berkata penolakan vaksin dari golongan anti-vaksin adalah dakyah tidak berasas.

Sejajar dengan anjuran agama menyarankan semua pihak merujuk kepada pakar yang arif, IMAM dan FIMA menyifatkan, semua dakwaan golongan akti-vaksin disangkal doktor pakar dan agamawan, termasuk mufti.

“Pakar perubatan telah menerangkan secara jelas vaksin bertujuan mencegah kecacatan dan kematian. Penyakit cacar (smallpox) yang meragut 300 juta nyawa pada kurun ke-20 berjaya dibasmi dengan vaksin cacar.

“Polio juga bakal dihapuskan tidak lama lagi. Pihak berkewajipan agama juga telah menetapkan vaksin di Malaysia adalah halal dan boleh digunakan,” kata kenyataan IMAM/FIMA.

Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan bersedia menimbang cadangan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), mewajibkan sekurang-kurangnya dua daripada 12 vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Khamis dilaporkan berkata cadangan mewajibkan suntikan itu membabitkan vaksin MMR iaitu bagi campak, beguk dan rubella serta vaksin difteria yang akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Dr Jeffrey dan Dr Musa berkata, asal usul dan kajian vaksin itu juga bermula dari tradisi Islam di mana Ar-Razi telah mewasiatkan tulisan awal mengenai penyakit cacar dan campak di kurun ke-10.

“Pakar perubatan di Daulah Othmaniah pada kurun ke-17 telah mempraktikan kaedah variolation untuk mencegah cacar. Konsep vaksinasi ini dibawa ke United Kingdom (UK) oleh Lady Montague, isteri kepada Duta Britain di Turki yang memberikan ilham kepada Edward Jenner untuk mencipta vaksin cacar pada 1796,” kata dua pakar perubatan dari IMAM dan FIMA itu.

Dr Jeffrey dan Dr Musa berkata, vaksin telah menyelamatkan kira-kira 2.5 juta nyawa setiap tahun.

“Agama menetapkan bahawa pencegahan itu lebih baik daripda pengubatan. Ia ketara di dalam pengunaan vaksin yang bertujuan mencegah kematian dan kecacatanakibat penyakit berjangkit,” hujah mereka. - BERNAMA

vaksin, IMAM, FIMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain