suria

Kayveas tarik diri, nyatakan sokongan kepada PH

Kayveas (tengah) nyatakan sokongan kepada PH. - Foto Bernama

TANAH RATA: Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands, sebaliknya mengisytiharkan bahawa beliau memberi sokongan terbuka serta agresif kepada calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran.

"Mereka (PH) boleh mengharapkan kami untuk bersama-sama mereka dan menterjemahkan sokongan padu kami sebagai undi buat mereka.

“PH adalah apa yang Cameron Highlands perlukan untuk melihat perubahan yang dijanjikan. Nama mereka menjelaskan segala-galanya. Pakatan Harapan. Harapan akan mengalahkan kesinisan dan penguasaan tidak demokratik cara Barisan Nasional (BN)," katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Saingan empat penjuru di PRK Cameron Highlands

Pada 6 Jan lepas, Kayveas mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam PRK itu selepas mendapat sokongan padu daripada anggota Majlis Tertinggi parti berkenaan.

Beliau berkata keputusan itu adalah yang pertama dibuat MyPPP selepas keluar daripada komponen BN pada 19 Mei 2018, setelah gabungan parti itu kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14, pada 9 Mei 2018.

"Ketika saya mengumumkan hasrat saya untuk bertanding, ia disebabkan di sini kampung halaman saya, daerah tempat saya dilahirkan dan sudah bertahun-tahun membantu pelbagai komuniti yang membentuk Cameron Highlands," katanya, dan menambah, beliau akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi dalam membantu penduduk  Cameron Highlands.

Pilihan raya kecil pada 26 Jan ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Ramli Mohd Nor mewakili BN, Manogaran (PH), dan dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee. - Bernama

Kayveas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain