Penamaan calon PRK Cameron Highlands bermula - Semasa | mStar

Penamaan calon PRK Cameron Highlands bermula

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berswafoto bersama Ketua Wanita Umno Datuk Dr Noraini Ahmad di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands (P.078) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah pagi Sabtu. - foto BERNAMA

TANAH RATA: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands (P.078) bermula pada pukul 9 pagi Sabtu di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata di sini.

Calon-calon mempunyai tempoh selama sejam iaitu sehingga pukul 10 pagi Sabtu untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum Pegawai Pengurus PRK Datuk Ishak Md Nais mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada kira-kira pukul 11 pagi.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya negeri Pahang Datuk Zamree Hamli berkata setakat pukul 5 petang semalam, sebanyak 11 set borang pencalonan telah dibeli dengan tiga set masing-masing oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan calon bebas, manakala dua set lagi oleh Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP).

Setakat ini, PH mengumumkan M.Manogaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang sebagai calonnya manakala BN mempertaruhkan bekas pegawai kanan polis daripada komuniti Orang Asli tempatan Ramli Mohd Nor sebagai calon. Selain itu Tan Sri M.Kayveas daripada MyPPP juga sebelum mengumumkan akan bertanding di PRK itu.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei 2018, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS/3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi).

SPR juga menetapkan 13 Jan sebagai tarikh pengeluaran kertas undi pos, undi awal (22 Jan), semakan peti undi (25 Jan), manakala hari pengundian pada 26 Jan dan buat julung kalinya suruhanjaya itu akan menyiarkan lintas langsung proses penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi di laman Facebook SPR (www.facebook.com/sprgovmy/) Parlimen Cameron Highlands mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanah Rata dan Jelai dengan jumlah keseluruhan pengundi yang layak memilih pada PRK kali ini seramai 32,009 orang termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya.

PRK ini adalah yang kelima setelah PRU14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor dan pilihan raya Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan. - Bernama

PRK Cameron Highlands

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Datuk Bandar pun kena saman dengan DBKL

Lebih Artikel