suria

Mangsa nahas mesin pengisar di Korea Selatan kekal positif, akan jalani pembedahan plastik

Kiri: Keadaan terkini Danial Arief yang kini dirawat di sebuah Hospital di Seoul, Korea Selatan.

PETALING JAYA: Selepas hampir sebulan tragedi yang menimpa Danial Arief Ahmad Fuat berlalu, keadaan kesihatannya semakin pulih selepas menjalani pembedahan kali ketiga pada Isnin lalu.

Melalui nota suara (voice note) yang dikirim oleh Danial Arief kepada mStar Online, tulang pehanya dipotong pada pembedahan tersebut dan perlu menjalani pembedahan plastik bagi merawat kesan luka kemalangan yang menyebabkan dia kehilangan separuh badan.

ARTIKEL BERKAITAN: Separuh badan anak hancur 'ditelan' mesin kitar sampah, keluarga mohon bantuan

"InsyaAllah lepas ini perlu lakukan pembedahan plastik pula, cuma kena tunggu bahagian yang luka tu baik dulu.

"Doktor maklumkan tisu pada bahagian yang terlibat tiada masalah dan jika tiada sebarang halangan, pembedahan plastik akan dijalankan lagi dua minggu," kata pemuda yang yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Keadaan Danial Arief ketika kedua-dua kakinya terperosok masuk ke dalam mesin pengisar sampah.

Danial Arief perlu berehat di hospital sehingga keadaan kesihatannya pulih sepenuhnya selepas pembedahan plastik itu sebelum dibenarkan pulang.

Difahamkan, segala kos perubatan di hospital berkenaan ditanggung oleh pihak majikannya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Terima kasih Malaysia” - Ucap mangsa kemalangan mesin pengisar di Korea Selatan, Danial Arief

Pada 19 November lalu, Danial Arief nyaris maut selepas ditimpa kemalangan di tempat kerja dalam satu insiden yang berlaku di sebuah kilang kitar semula di Korea Selatan.

Anak sulung daripada tiga beradik itu kehilangan hampir separuh anggota tubuhnya selepas 'ditelan' sebuah mesin pengisar sampah di kilang kitar semula yang terletak di Samseong, Seoul.

Danial Arief, Korea

Artikel Lain