suria

Klinik 1Malaysia akan diganti dengan Klinik Komuniti - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly berkata sebahagian kecil daripada Klinik 1Malaysia terpaksa ditutup kerana tidak memenuhi peraturan. - Bernama

IPOH: Klinik Komuniti akan dipertingkatkan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk menawarkan perkhidmatan kepada golongan berpendapatan rendah, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, Klinik 1Malaysia yang ada pada masa ini akan digantikan di PPR dengan Klinik Komuniti yang mempunyai perkhidmatan yang lebih baik termasuk doktor, farmasi dan pemeriksaan asas untuk penyakit tidak berjangkit.

Tambah beliau, klinik tersebut dijangka akan beroperasi pada separuh suku kedua tahun depan.

"Bagaimanapun, kita perlu menutup sebahagian kecil daripada Klinik 1Malaysia yang lain kerana tidak memenuhi peraturan," kata Dr Dzulkefly.

Dr Dzulkefly bercakap kepada pemberita di luar Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2018 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata kebanyakan klinik dikunjungi kurang daripada 40 pesakit pada setiap hari.

Menteri Kesihatan itu diminta mengulas mengenai bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru-baru ini dalam akaun Facebooknya mengutuk keputusan kerajaan untuk menutup Klinik 1Malaysia.

Dr Dzulkefly menambah bahawa klinik-klinik terdahulu telah ditubuhkan dengan tergesa-gesa dan mengatakan bahawa ia bukan program yang dirancang dengan baik.

"Ia merupakan mekanisme segera, seperti mi segera. Oleh itu, kita mahu menjadikannya lebih baik untuk rakyat bagi memastikan pesakit didiagnosis untuk penyakit serius pada peringkat awal," katanya.

Dr Dzulkefly menambah jika mereka meneruskan klinik yang ada kini, pesakit tidak akan dapat disaring untuk penyakit yang serius.

"Kami pasti akan terlepas mengesan penyakit mereka pada peringkat awal. Oleh itu, kami ingin meningkatkan perkhidmatan," katanya. - The Star

Artikel Lain