suria

90 peratus pusat jagaan tidak sah, proses daftar gagal kerana jiran tak setuju - Yeoh

STATISTIK Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan sebanyak 90 peratus pusat penjagaan di negara ini tidak didaftarkan secara sah.

Ia menjadi fokus utama kerajaan untuk membendung isu ini bagi menangani kes-kes penderaan khususnya di pusat jagaan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggalakkan pendaftaran dan pemantauan ke atas hampir 40,000 pusat jagaan di negara ini.

Menurut kajian yang dilakukan kementerian itu, kebanyakan pusat jagaan gagal dalam proses pendaftaran di peringkat awal kerana kejiranan di sekitar itu sendiri yang tidak mahu wujdnya pusat jagaan di kawasan mereka.

“Sekarang kami bekerjasama dengan KDN untuk mengumpul data dan menilai jumlah pusat jagaan yang gagal mendaftar kerana tidak mendapat persetujuan jiran-jiran.

“Setelah data dikumpul, kami akan berusaha untuk menyelesaikan hal itu dengan membantu proses pendaftaran untuk mereka,” ujarnya.

Malah, Yeoh turut menggesa masyarakat supaya lebih peka dan turut menyumbang dalam menjaga keselamatan kanak-kanak.

“Saya berpendapat ahli keluarga, guru sekolah, saudara mara dan kumpulan sukarelawan bertanggungjawab untuk membuat laporan jika mengetahui sebarang elemen penderaan kanak-kanak sedang berlaku,” katanya lagi.

Newsflash adalah siri mingguan R.AGE yang membincangkan isu-isu semasa yang sedang berlaku.

Untuk menonton video, boleh layari saluran YouTube R.AGE dan lawati Facebook R.AGE.

pusat jagaan, Hannah Yeoh

Artikel Lain