suria

Adib dah boleh angguk, faham arahan

KUALA LUMPUR: Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, kini sudah memberi respon yang positif.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Dr Md Farid Md Rafi berkata, ketika beliau menziarahi Muhammad Adib hari ini, ada perkembangan yang mengembirakan beliau dan rakyat Malaysia berhubung perkembangannya.

Katanya, Muhammad Adib sudah boleh memberi respon balas terhadap keadaan sekitarnya.

"Secara asasnya beliau (Muhammad Adib) sudah sedar, masih banyak mesin sokongan dibadan tapi beliau boleh mengangguk dan faham apa yang diperkatakan, itu ada permintaan untuk terus bagi semangat dekat beliau," katanya dalam sidang medianya di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, Isnin.

Yang turut hadir dalam sesi ziarah berkenaan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Perkembangan terkini Muhammad Adib menyaksikan beliau kini tidak lagi bergantung kepada mesin sokongan jantung.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata bagaimanapun mesin sokongan masih terus digunakan pada bahagian paru-parunya.

Katanya, doktor yang merawat  Muhammad Adib memaklumkan kepadanya bahawa jantungnya sudah berfungsi dengan sendiri.

Dalam kejadian awal pagi Selasa lepas, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika terlibat dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Muhammad Adib memang diserang dan bukan dilanggar jentera bomba yang sedang mengundur semasa insiden rusuhan di kuil itu.-SinarHarian

Adib, bomba, IJN

Artikel Lain