suria

“Tak logik saya buang air kecil sambil angkat kaki...”

GARA-GARA sekeping foto 'sedang kencing' di dalam tandas bersama dua anak buahnya, seorang gadis menerima kecaman bertalu-talu di laman Twitter.

Hanis Ishak, 27, memuat naik gambar dia bersama dua kanak-kanak lelaki ketika berada di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di Puchong, Ahad.

"Sebab kena bawa dua-dua ni masuk tandas, korang pandang tempat lain I nak kencing," tulisnya di Twitter yang akhirnya mengundang kontroversi.

Setelah dihujani kecaman ramai yang menganggap dia tidak mempunyai nilai moral kerana berkongsi gambar berkenaan, Hanis memberikan penjelasan kepada mStar Online.

Jelasnya, gambar dan kapsyen di Twitter itu hanyalah gurauan semata-mata.

"Saya tak buang air kecil pun, sebaliknya saya bawa mereka berdua untuk kencing sebelum menonton wayang.

"Mereka berdiri menghadap pintu tu sebab saya menyakat, saya cakap saya mahu buang air kecil juga sedangkan saya bergurau sahaja. Saya ambil gambar sebab aksi mereka comel dan menghiburkan.

"Dalam gambar tu pun saya angkat kaki sebelah, tak logik saya buang air kecil sambil angkat kaki," katanya ketika dihubungi, Khamis.

Menurut Hanis, dia masuk bersama dua anak buahnya itu ke dalam tandas kerana bimbangkan keselamatan mereka yang berusia lapan dan lima tahun.

Katanya, sikap terlalu berjaga-jaga itu turut berpunca daripada pengalaman lalu apabila dia hampir diculik ketika berusia tujuh tahun.

"Biarlah orang nak pandang atau nak mengata, saya dulu hampir diculik tapi sempat diselamatkan ayah. Apatah lagi zaman sekarang, kes budak hilang, pedofilia dan macam-macam lagi. Saya tak nak menyesal di kemudian hari.

"Ia adalah benda normal. Ramai orang dekat luar sana tak tahu cara menjaga kanak-kanak khususnya bila berada di tempat terbuka.

"Malah, saya tak rasa tindakan saya itu salah. Kalau salah, mesti saya akan padam tweet itu selepas orang ramai kecam, tapi saya biarkan sahaja," ujarnya lagi.

Sehingga kini, foto berkenaan telah diulang kicau (retweet) lebih 5,000 kali.

"Aku yang perempuan ni pun terbayang dia bogel masa tengah ambil gambar ni. Apatah lagi budak tu, apatah lagi 'jejantan' yang baca tweet ni. Seronok ke orang imagine you half naked? (bayangkan awak separuh bogel)," tulis seorang pengguna Twitter merujuk kepada posting Hanis.

Bagaimanapun, masih ramai netizen yang berfikiran positif dan menyokong langkah keselamatan yang diambil oleh gadis berkenaan.

"Saya dan mak saya pun macam ni dulu. Dah kami keluar berdua, takkan nak tinggalkan saya dengan orang tak dikenali kat pusat beli-belah tu, kena culik pulak dah satu hal," tulis @idhadamm.

"Lagi baik macam ni daripada biarkan budak-budak tu kat luar," tulis @NurAfrinaa.

Dalam pada itu, Hanis mengambil langkah menutup akses 'direct message' (DM) di Twitter miliknya kerana tidak mahu mengambil pusing kecaman orang ramai yang mempertikaikan tindakannya.

Jelasnya, dia tidak kisah mengenai tanggapan ramai kerana keselamatan anak saudaranya menjadi keutamaan.

langkah keselamatan, culik

Artikel Berikut

Artikel Lain