suria

Sisi pemalu Nazri buat Haflin tertawan

KETIKA melangkah masuk ke kediaman Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Ampang baru-baru ini perasaan penulis bercampur-baur. Namun segala yang dirasai itu lenyap sebaik pintu dibuka.

Kunjungan krew mStar Online disambut dengan senyuman seorang kanak-kanak lelaki yang tersipu malu.

Selepas beberapa ketika, penulis disapa seorang wanita jelita yang merupakan isteri Nazri, Datin Seri Haflin Nazri Aziz.

Memiliki sifat yang lembut, penyayang dan mesra, wanita berusia 36 tahun ini berkongsi mengenai keperibadian Nazri ketika di rumah.

Menurutnya, sifat calon kerusi Parlimen Padang Rengas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang penyayang adalah perkara utama yang berjaya menawan hatinya.

"Chief (Nazri) memiliki hati yang begitu baik. Dengan dia saya boleh jadi diri sendiri.

"Dia bukan seorang yang mudah menilai seseorang, tidak mengongkong dan itu sifat yang sering buat saya berasa senang," ujar mengenai Nazri yang lebih mesra disapa dengan panggilan Chief itu.

Haflin menyifatkan Nazri sebagai seorang yang pemalu.

Cerita anak Kelantan ini, mereka bertemu di Istana Pahang ketika dia menemani ibunya yang dianugerahkan gelaran Datuk.

"Kami berjumpa buat pertama kali di Istana Pahang, ketika majlis jamuan. Ibu saya terima anugerah Datuk dan dia (Nazri) pula mendapat gelaran Datuk Seri, kemudian kami ada berjumpa lagi di Kuala Lumpur," katanya.

Malahan, percaya atau tidak, kata Haflin, suaminya sebenarnya seorang yang pemalu.

"Dia bukan seorang yang gopoh dalam perhubungan, namun dia begitu pemalu.

"Semasa mengurat itu pun dia tidak tunjuk yang dia sukakan saya," seloroh ibu kepada anak lelaki yang comel berusia dua tahun.

Selain pemalu dan penyayang, Nazri juga digambarkan sebagai seorang yang tidak cerewet ketika makan kerana menu kegemarannya begitu ringkas seperti sambal petai, ikan tenggiri goreng, sayur bayam tumis dan kentang goreng.

Lauk kegemaran Nazri adalah kentang goreng.

Kesibukan suaminya membuatkan wanita ini meletakkan masa yang diluangkan Nazri bersamanya antara kejutan terbesar yang pernah diterimanya selama empat tahun melayari bahtera perkahwinan.

"Nazri seorang yang sangat sibuk. Kalau tengok jadual dia sangat padat. Jika dia dapat meluangkan masa sehari bersama saya, itu adalah kejutan terbesar buat saya.

"Malah tahun ini dia memberikan kejutan apabila secara spontan merancang sambutan hari jadi anak sulung kami, JP.

Namun menurut Haflin, dia sentiasa memahami dan menghormati tanggungjawab suaminya sebagai anggota Kabinet dan pemimpin masyarakat.

Mengulas mengenai statusnya sebagai isteri pemimpin negara, katanya, dia tidak kekok dan sudah terbiasa menghadiri majlis-majlis rasmi.

Haflin bersedia beraksi di dapur.

"Saya sering menemani suami ke majlis-majlis berkaitan pelancongan terutama selepas berkahwin.

"Mujur saya tidak berasa kekok kerana hampir 15 tahun melibatkan diri dalam industri pelancongan kerana keluarga saya mempunyai resort di Tok Bali, Kelantan.

"Oleh itu, ada ketikanya majlis yang Datuk Seri tidak boleh hadir, dia akan minta saya hadir mewakilinya," katanya.

Bagaimanapun Haflin tidak mahu netizen menyalah anggap mengenai kehadirannya pada majlis itu.

"Jangan salah anggap. Saya bukan nak status suami saya, tetapi saya cuma hadir sebagai wakil," ujarnya.

Artikel Lain