suria

Penuntut Universiti Hilang Akhirnya Pulang, Tapi...

PETALING JAYA: Penantian selama 12 hari keluarga seorang pelajar universiti swasta yang hilang akhirnya ternoktah apabila pemuda itu kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

Suasana bertukar hiba apabila seisi keluarga yang baru selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah melihat Faiz (bukan nama sebenar), 19, membuka pintu lalu memeluk ibu dan neneknya pada Rabu.

Abangnya, Amran (bukan nama sebenar), 22, berkata, mereka sekeluarga berasa terkejut dengan kepulangan adiknya, namun tetap gembira dan bersyukur kerana tiada perkara buruk berlaku terhadap pelajar tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Pergi Pasar Malam, Alamanda, Tengok Wayang, Kemudian Tak Angkat Telefon!”

"Mereka bertiga (adik, ibu dan nenek) menangis dan Faiz meminta maaf kepada mak.

"Faiz cakap dia ke Johor untuk bersendirian," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Kata Amran, dia berulang-alik ke Johor mencari adiknya berdasarkan petunjuk yang diperoleh daripada transaksi bank yang dibuat adiknya sepanjang tempoh 'kehilangannya' sejak 16 Mac lalu.



Amran bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci tentang punca adiknya mengasingkan diri daripada keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan mengesahkan perkara itu dan berkata, Faiz dilaporkan pulang dengan memandu kereta yang dinaikinya pada hari kejadian.

"Dia pulang sendiri ke rumah keluarganya dan pakai pakaian yang dibawa bersama pada hari tersebut," katanya ketika kepada mStar Online.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai punca Faiz meninggalkan kediaman keluarganya sehingga menyebabkan laporan polis tentang kehilangan pelajar berusia 19 tahun itu dibuat pada 17 Mac.

Pada 21 Mac lalu, mStar Online melaporkan Faiz, tidak pulang sejak keluar dari rumah tanpa ditemani sesiapa pada pukul 10 pagi hari tersebut.

Abangnya, Amran memberitahu bahawa Faiz memaklumkan ingin keluar menonton wayang kepada ibu mereka, namun jirannya terlihat pemuda tersebut memandu kereta menghala ke Johor.

Amran memuat naik mengenai berita kehilangan adiknya itu di Instagram sebagai ikhtiar untuk mencari remaja tersebut.

remaja hilang

Artikel Sebelum

Artikel Lain