suria

“Tiada Lagi Isu, Pihak Kanopi Sudah Jelaskan” - Mak Andam

ISU pelamin 'telanjang' yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu akhirnya menemui noktah apabila pihak pembekal kanopi menghubungi butik pengantin yang terlibat.

Pengusaha butik, Azima Sanusi, 31, berkata wakil pihak kanopi menghubunginya untuk memohon maaf selepas isu itu tular dan dilaporkan di portal mStar Online pada Selasa.

"Alhamdulillah, sudah selesai. Wakil mereka ada menghubungi saya untuk minta maaf dan sudah tiada isu antara kami.

"Mereka sudah jelaskan kenapa mereka bertindak macam tu. Iyalah saya faham, mereka pun ada majlis lain lagi, itu yang mereka buka kanopi secepat mungkin," katanya kepada mStar Online, Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak Andam Bengang Pelamin Indah Dibiar 'Telanjang' Atas Tanah

Dalam kejadian yang berlaku di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, pagi Isnin, pengusaha butik mendakwa kanopi yang disewa untuk majlis resepsi pelanggannya dibuka terlebih dahulu tanpa menunggu dia sampai di rumah pengantin.

Azima yang mengaku tiba lewat satu jam dari waktu sepatutnya, iaitu pukul 9 pagi bagaimanapun terkejut melihat pelamin yang dipasangnya di bawah kanopi sudah dibuka, dengan barang dan perhiasan untuk membuat pelamin bersepah di atas tanah.

Posting Azima di Facebook yang tular.

Tidak puas hati dengan kejadian tersebut, dia melepaskan geramnya di Facebook sambil menyifatkan pemilik kanopi tersebut tidak beradab dan tidak sabar.

Kejadian itu mendapat perhatian ramai apabila dikongsi lebih 1,500 kali oleh netizen dan menerima hampir 2,000 komen.

Malah, ia turut mengundang pelbagai pandangan daripada netizen, malah ada yang tertanya-tanya siapa yang patut dipersalahkan dalam kejadian ini.

Sementara itu, wanita yang mengusahakan dua butik pengantin di Batu Pahat dan Johor Bahru ini berkata, dia menerima penjelasan pihak kanopi dengan hati terbuka dan memilih untuk tidak memanjangkan lagi kes ini.

"Kita orang berniaga, saling memerlukan antara satu sama lain. Kena bertolak ansur dan saling memahami.

"Saya juga berharap agar tidak berlaku lagi kes seperti ini kepada saya dan juga pengusaha-pengusaha lain," jelasnya lagi.

pelamin, sewa kanopi, mak andam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain