suria

Calon Jual Rupa Tarik Undi?

Dyana Sofea (kiri) dan Dira pada sesi FB Live Sinar Harian pada Selasa. Foto Sinar Online

PARAS rupa bukan keutamaan untuk tarik undi, sebaliknya pelengkap kepada individu untuk dipilih sebagai pemimpin.

Ahli Majlis Eksekutif Pemuda DAP, Dyana Sofea Mohd Daud berkata, apa yang boleh ditawarkan kepada rakyat, prestasi kerja adalah keutamaan berbanding faktor-faktor lain.

"Apakah polisi yang diperjuangkan? Apa idea yang dibawa? Adakah dia mudah didekati, sombong atau? Ini semua rakyat akan nilai.

"Mungkin rupa kurang cantik, tapi orang suka dia sebab apa yang dia tawar, jadi rupa itu membawa sedikit faktor, tetapi penampilan diri lebih penting daripada rupa fizikal," katanya ketika bersiaran langsung di Facebook Live Sinar Harian, Selasa.

Mengambil contoh ketampanan dimiliki Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, Dyana Sofea berkata, pada awalnya pemimpin itu menjadi popular bukan kerana rupa paras semata-mata tetapi berkait rapat dengan polisi ditawarkan.  

"Trudeau bagaikan pelakon Hollywood. Pada awalnya memang popular dengan rupa parasnya dan disokong rakyat kerana polisi diamalkan dalam negaranya, tetapi selepas sedikit perubahan dibuat, popularitinya menurun.

"Polisi ini saya rasa amat penting dalam kerja politik termasuk juga dalam apa-apa bidang sekalipun," katanya.

Dyana Sofea berkata, aspek penampilan juga penting kepada seorang pemimpin, namun asas keutamaan adalah adakah calon itu boleh bekerja.

Sementara itu, Exco Puteri Umno, Dira Abu Zahar pula berpandangan, rupa adalah salah satu bentuk keyakinan kepada persepsi awal masyarakat untuk dilihat siapa wakil dipilih.

"Tapi pada masa sama juga adalah kredibiliti untuk buat kerja, untuk mempersembahkan diri dari segi kerjanya," katanya.

Menurutnya, isu paras rupa bukan hanya dibincangkan pada masa kini, bahkan sejak zaman Nabi Yusuf lagi.

"Nabi Yusuf dikagumi kerana paras rupa begitu menarik, maka diberi kepercayaan sebagai pemimpin, tidak terkecuali juga tokoh-tokoh agama terkemuka yang raut wajahnya baik, diangkat sebagai pemimpin tertinggi," katanya. - Sinar Online

Dyana Sofea, Dira Abu Zahar

Artikel Sebelum

Artikel Lain