suria

Tiada Kekasaran Ketika Soal Siasat Siti Hasmah - KDN

JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri menjelaskan proses soal siasat polis ke atas Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak melibatkan aspek kekerasan.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sebaliknya bekas wanita pertama Malaysia itu hanya disiasat berhubung kehadiran beliau dalam satu program yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Katanya, kerajaan amat menghormati Siti Hasmah di atas jasanya terhadap negara dan kementerian berkenaan sentiasa diingatkan agar mengambil tindakan menggunakan pendekatan bijaksana bagi menghadapi isu-isu berkaitan politik.

"Polis hanya jalankan siasatan berhubung kehadiran beliau pada satu majlis yang tidak mendapat kebenaran polis, itu saja. Ia bukan bertujuan untuk mengambil tindakan kekerasan atau untuk menakutkan beliau.

"Kerana kita sebagai pemerintah amat menghormati Tun Hasmah di atas jasanya selama ini sebagai pendamping bekas Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah  yang menyifatkan penahanan itu sebagai tindakan kasar terhadap Siti Hasmah.

Jumaat lalu, Siti Hasmah, 91, disoal siasat di Yayasan AlBukhary di ibu negara  dipercayai berkaitan penyertaan beliau dalam perhimpunan 'Wanita Bantah Politik Toksik' di Kuala Lumpur pada September lepas.-Sinar Harian

Siti Hasmah, Nur Jazlan

Artikel Lain