suria

Antara Garu Tangan Hingga Luka Atau Cedera Dirotan Guru Taska, Mana Yang Betul?

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun mengalami kecederaan pada tangan kanan, dipercayai akibat dirotan seorang guru di sebuah taska di Bercham di sini pada Rabu lalu.

Ketua  Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang berusia 45 tahun pagi Sabtu setelah disahkan doktor bahawa kecederaan pada tangan anaknya itu berpunca daripada dirotan.

"Pada hari kejadian kira-kira  7.45 pagi,  ibu mangsa menghantar anaknya ke taska di Taman Lindungan Bercham Indah dalam keadaan baik.

"Kira-kira 6 petang wanita berkenaan mendapati terdapat kesan luka pada tangan kanan anaknya sebelum diberitahu oleh dua guru taska berkenaan bahawa mangsa menggaru tangannya," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Mohd Ali berkata ibu mangsa bersama guru taska terbabit telah pergi ke sebuah poliklinik di Taman Ipoh Permai pada Jumaat dan diberitahu oleh doktor yang merawat bahawa tangan anaknya telah dijangkiti kuman akibat dirotan.

Sehubungan itu, Mohd Ali berkata ibu mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Bercham kira-kira pukul 10 pagi semalam dan pemilik serta penyelia taska juga telah tampil memberi keterangan.

Katanya hasil siasatan awal mendapati suspek seorang guru taska berumur 32 tahun mengaku merotan mangsa di tangan kanan sehingga bengkak.

Suspek juga telah  diberhentikan kerja serta-merta bagi  mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

"Pihak polis akan memanggil suspek untuk memberi keterangan berhubung insiden tersebut," katanya.--Bernama

Ali Tamby, Bercham

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain