suria

Lima Kanak-Kanak Antara 110 Pati Ditahan Di Kajang

Lima kanak-kanak warga Indonesia adalah antara 110 Pati yang berjaya diberkas Jabatan Imigresen Selangor. - Gambar hiasan

SHAH ALAM: Lima kanak-kanak warga Indonesia adalah antara 110 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berjaya diberkas Jabatan Imigresen Selangor dalam serbuan di dua buah rumah kongsi di sebuah tapak pembinaan di Bukit Mahkota, Kajang awal pagi Sabtu.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor James Lee berkata serbuan menerusi Ops Ikrar itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai jabatan tersebut bermula 1 pagi dan berakhir tiga jam kemudian.

"Operasi dibuat hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu yang membawa kepada penahanan 110 Pati daripada sejumlah 373 warga asing yang diperiksa di dua buah rumah kongsi tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan dua hingga 48 tahun.

Mereka terdiri daripada 93 warga Indonesia iaitu 58 lelaki, 30 wanita serta lima kanak-kanak, 10 lelaki Bangladesh, empat lelaki Pakistan, dua lelaki Vietnam dan seorang lelaki warga India.

Beliau berkata Imigresen Selangor juga sedang mengumpul maklumat berhubung sindiket pemalsuan pas kerja berikutan tiga daripada yang ditahan tersebut mempunyai pas kerja palsu.

"Tahanan lain melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak mempunyai pas atau permit sah untuk tinggal di negara ini serta Seksyen 15(1) akta sama iaitu tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan," katanya.

Katanya kesemua tahanan dibawa ke Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut. - Bernama

pati, imigresen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain