suria

Dua Rakan Didakwa Terima Rasuah RM100,000

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis atas pertuduhan cuba menerima rasuah wang tunai berjumlah RM100,000 daripada seorang pemilik butik bagi menyelesaikan kes jenayah membabitkan suaminya, tahun lepas.

Noorasyikin A.Latiff, 39, seorang pengurus besar syarikat sekuriti dan Kamaruzaman Jusoh, 43, juruteknik, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Noorasyikin dan Kamaruzaman didakwa bersama-sama cuba untuk menerima suatu suapan wang tunai sebanyak RM100,000 daripada Nur Aisyah Roling, melalui Mohd Rozaini Radzi sebagai dorongan untuk tertuduh menolong menyelesaikan kes suami Nur Aisyah iaitu Datuk Baharuddin Hamzah, seorang ahli perniagaan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pekarangan Victoria Station, Jalan Ampang, di sini pada jam 3.30 petang, 15 Disember 2016.

Kamaruzaman turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu melalui panggilan telefon telah secara rasuah meminta suatu suapan wang tunai RM100,000 daripada mangsa sama, dengan memperkenalkan diri sebagai Rizalma dari Pejabat Kementerian Dalam Negeri bagi tujuan sama di Pasaraya AEON Big Wangsa Maju, pada 1.30 petang, 14 Disember 2016.

Noorasyikin juga mengaku tidak bersalah meminta daripada mangsa sama suatu suapan wang tunai sebanyak RM100,000 sebagai suatu dorongan untuk tujuan sama pada 2 petang, di pekarangan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya, 30 November lepas.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jan ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala Noorasyikin diwakili peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin dan Kamaruzaman diwakili peguam Datuk Mohd Radzuan Ibrahim. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain