suria

Ibu Dua Anak Didakwa Tipu Proses Percepat Giliran Haji

PETALING JAYA: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan memperdaya seorang suri rumah berhubung proses mempercepatkan giliran ibadah haji yang tidak wujud.

Hidayatul Akmal Yusoff, 28, didakwa memperdayakan Siti Dara Darman, 52, sehingga mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM9,500 kepadanya bagi proses mempercepatkan giliran ibadah haji bagi tahun 2016 yang tidak wujud.

Tindakan itu telah menyebabkan mangsa menyerahkan sejumlah wang tersebut di mana mangsa tidak akan melakukan sedemikian sekiranya tidak diperdaya oleh tertuduh.

Ibu dua anak itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di premis Tabung Haji cawangan Kelana Jaya, di sini pada 21 September tahun lalu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abd Rahman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam Keshreena Sidhu memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan dia mempunyai dua anak yang masih kecil dan seorang daripadanya menghidap penyakit jantung berlubang.

Majistret Salamiah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Februari untuk sebutan semula kes.-- Bernama

haji, Siti Dara Darman

Artikel Sebelum

Artikel Lain