suria

Bukit Aman Tangguh Ambil Keterangan Ahmad Husni

Ahmad Husni bersama beberapa pemimpin pembangkang ketika di Bukit Aman petang Isnin.

KUALA LUMPUR: Bukit Aman menangguhkan sesi merakamkan keterangan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada Isnin.

"Sesi keterangan ditangguhkan. Mungkin ke minggu depan," kata Ahli Parlimen Tambun itu kepada pemberita di luar perkarangan Bukit Aman.

Beliau bagaimanapun belum dimaklumkan mengenai tarikh dan waktu baharu bagi sesi berkenaan.

Ahmad Husni juga tidak dimaklumkan mengenai punca sesi memberi keterangan tersebut terpaksa ditangguhkan.

Beliau ditemani isteri tiba di Bukit Aman pada kira-kira pukul 2.15 petang dan keluar semula kira-kira 10 minit kemudian.

Antara yang dilihat turut hadir memberi sokongan kepada Ahmad Husni adalah bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan mengambil keterangan tiga bekas anggota kabinet dalam masa terdekat yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan baru-baru ini.

Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dilaporkan, semasa perbahasan ucapan Bajet 2017 di Dewan Rakyat, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sama ada jika sebarang tindakan diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana menyalurkan dana syarikat pelaburan negara itu ke "tempat yang salah".

Beliau juga menyoal mengapa kerajaan hanya akan dibayar pada 2020 bagi penjualan 60 peratus kepentingan dalam projek Bandar Malaysia kepada sebuah syarikat Cina.

Ahmad Husni juga menyoal kerajaan sama ada imej Malaysia akan terjejas sekiranya 1MDB tewas dalam kes timbang tara di London berhubung tindakan International Petroleum Investment Co milik Abu Dhabi, yang menuntut lebih daripada AS$6.5 bilion daripada 1MDB.

Selain Ahmad Husni, dua lagi yang akan dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung dakwaan membocorkan rahsia kerajaan di Dewan Rakyat ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.



Artikel Lain