suria

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Tolak Permohonan Henti Siasat Ahmad Husni

KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menolak permintaan supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menghentikan siasatan berhubung kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkaitan 1MDB.

Kiandee berkata, ada laporan yang dibuat terhadap Ahmad Husni dan siasatan dijalankan agensi lain.

"Saya tidak akan membuat sebarang ketetapan bagi menghalang KPN daripada menjalankan siasatan.

"Jika tiada kes, bermakna tiada kes. Bagaimanapun, proses siasatan perlu dijalankan," katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang ketika membahaskan Bajet 2017 pada Isnin meminta Kiandee membuat ketetapan terhadap Khalid dan menuntut maaf daripadanya kerana menyalahguna kuasa imuniti ahli parlimen.

"Tambun diminta hadir ke Bukit Aman pada 2.30 petang. Mohon ketetapan dibuat sekarang," katanya.

Susulan itu berlaku perang mulut antara wakil Barisan Nasional (BN) dan pembangkang dengan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) mempersoalkan polis menyiasat ucapan yang dibuat wakil rakyat di parlimen.

Guan Eng mempersoalkan kenapa minggu lalu Ahmad Husni dibenarkan membuat ucapan berhubung 1MDB tetap tidak dihalang Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Situasi itu juga menyebabkan beberapa ahli parlimen DAP telah meninggalkan sidang Dewan Rakyat.


Artikel Lain