suria

SPRM Tahan Lebih 1,000 Pegawai Kerajaan, GLC Setakat September

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 1,037 pegawai kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berikutan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram antara tahun 2014 sehingga September lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan berkata mereka terdiri daripada 225 penjawat awam dan dua dari GLC yang ditahan pada 2014; 398 penjawat awam dan tujuh pegawai GLC (2015) serta 388 penjawat awam dan 17 pegawai GLC ditahan bagi tempoh Januari sehingga September lepas.

"Jumlah nilai suapan yang dirampas dan dibekukan pada 2014 adalah sebanyak RM113,436,354.80; 2015 (RM30,782,280.29) dan sehingga September 2016 jumlah yang telah dirampas dan dibekukan adalah RM27,554,652.31," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Seng Kuan menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) mengenai bilangan pegawai kerajaan daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta GLC yang ditangkap oleh SPRM bagi kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram setiap tahun mulai 2014 sehingga September 2016 dan jumlah nilai wang tunai, harta dan bentuk rasuah yang lain.

Dalam perkembangan lain, Seng Kuan berkata kerajaan bersetuju dan menyokong cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) dan laporan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) mengenai pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti yang dirangka oleh JKNMPP. 

Beliau berkata jawatankuasa itu mengesyorkan sebanyak 32 cadangan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu proses pelaksanaan, keperluan satu undang-undang baharu dan kandungannya, serta isu-isu yang lebih luas dan bersifat jangka panjang. 

Dalam pada itu, Seng Kuan turut menjawab soalan daripada Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) yang ingin tahu adakah wujud undang-undang yang menyatakan apabila wang suapan dikembalikan kepada pemberi rasuah, mereka terlibat dianggap sudah bersih daripada tuduhan rasuah. 

Beliau berkata: "Merujuk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM), tidak wujud peruntukan yang menyatakan sekiranya wang suapan dikembalikan kepada pemberi rasuah maka penerima boleh dianggap telah bersih daripada tuduhan rasuah". 

Sekiranya tidak ada keterangan yang dapat membuktikan wang atau harta yang disita diperoleh melalui pelakuan rasuah, maka wang atau harta tersebut akan dikembalikan kepada pemunya, katanya.

Low juga menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) mengenai sebab tiada tindakan oleh SPRM terhadap Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang dilaporkan menjual tanah diambil alih daripada orang awam untuk tujuan perumahan Perda di Seberang Perai Selatan di bawah harga pasaran sehingga kerugian RM15.2 juta untuk pembinaan rumah kedai yang tidak dipersetujui oleh anak syarikat Perda seperti PERDA Ventures Sdn Bhd. 

"SPRM telah menyelesaikan tindakan siasatannya. Kes ini sedang dalam penelitian Pengarah Siasatan sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan sama ada tindakan pendakwaan akan dibuat atau tidak," kata Senator itu.-- Bernama

SPRM, GLC

Artikel Lain