suria

Najib Sindir Dua Pemimpin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempat menyindir dua pemimpin semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat, petang Jumaat.

"Jika kita suka kepada seseorang itu berpada-padalah, mana tahu kelak kita akan membencinya.

"Kalau kita membenci seseorang itu juga, berpada-padalah juga kerana mungkin orang yang dibenci itu kelak akan menjadi orang yang kita sayang," katanya.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-duanya kini dilihat merapatkan hubungan dengan seteru mereka sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyatakan penghargaan kepada sumbangan bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada September lalu.

Bulan lalu juga, Dr Mahathir membuat kejutan apabila  pertama kali bersemuka dengan Anwar selepas lebih 18 tahun tidak bertemu.

Kali terakhir kedua-duanya dilihat bersama pada September 1998 selepas Dr Mahathir yang ketika itu merupakan perdana menteri memecat Anwar yang menjadi timbalannya.

Pertemuan bersejarah itu berlaku apabila Dr Mahathir hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta bagi memberi sokongan permohonan injuksi sementara yang difailkan oleh Anwar bagi menghalang pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara.

Muhyiddin kini menerajui parti di blok pembangkang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai presiden manakala Dr Mahathir menjadi pengerusi parti.

Najib Tun Razak, Bajet 2017

Artikel Lain