suria

PDRM Waspada Ancaman Militan Daesh Indonesia

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berwaspada dengan ancaman daripada anggota militan Daesh Indonesia yang dikesan aktif memberi arahan untuk melancarkan serangan di rantau ini, termasuk di Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan ketua militan Daesh Indonesia,  Bahrum Shah mempunyai dana yang besar yang membolehkan serangan berskala besar dilakukan. 

"Dahulu ketika Al-Qaeda, duit banyak masuk dari Afganistan dan ia digunakan untuk dana pengeboman di Bali, Indonesia.

"Jika dana masuk daripada Syria, kita perlu kekang kerana bimbang berlaku serangan berskala besar... ini yang kita bimbang," katanya kepada pemberita pada Simposium dan Anugerah Keselamatan ASEAN anjuran Persatuan Mencegah Keganasan dan Profesional Keselamatan (IACSP) Antarabangsa (IACSP) di sini, Selasa.

Terdahulu, Ayob Khan dalam ucapannya berkata selain Bahrum, dua lagi militan Daesh Indonesia iaitu Bahrun Nain dan Abu Jandal juga aktif memberi arahan kepada pengikutnya untuk melancarkan serangan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata setakat ini, sebanyak 13 rancangan serangan oleh anggota militan Daesh di negara ini berjaya digagalkan PDRM.

Katanya, tujuh daripada serangan yang dirancang telah memasuki fasa kedua, iaitu apabila polis menjumpai bom, peluru dan bahan kimia.

"Kebanyakan tempat yang dirancang untuk melakukan serangan adalah pusat hiburan, pejabat kerajaan dan lain-lain," katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata sebanyak 239 individu di negara ini telah ditahan sejak 2013 dipercayai terlibat kegiatan militan Daesh.

Pada 31 Ogos lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis menggagalkan cubaan melancarkan serangan pada malam Ambang Merdeka dengan penahanan tiga rakyat tempatan yang dipercayai anggota Daesh.

Ketiga-tiga suspek yang berumur antara 20 dan 27 tahun ditahan di ibu negara, Selangor dan Pahang menerusi operasi yang dijalankan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, kata Khalid. - BERNAMA

Daesh, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain