suria

Hubungan Amanah - PAS Semakin Baik - Anuar Tahir

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) yang ditubuhkan daripada serpihan ahli dan pemimpin PAS menyifatkan hubungannya dengan parti Islam itu kini semakin baik.

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir juga percaya, hubungan antara kedua-dua parti itu boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, beliau berpendapat, PAS seharusnya dihormati sebagaimana parti-parti politik lain.

"Kawan-kawan dalam PAS yang sebelum ini melepaskan 'tembakan' (serangan) tetapi sekarang ini dah perlahan sikit.

"Saya rasa kita harus jadi parti politik yang betul-betul sivil. Saya percaya akan semakin baik, kita kena positif. Mudah-mudahan hubungan ini boleh diperbaiki," katanya pada sidang media di Wisma Amanah, di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungan Amanah dan PAS selepas parti serpihan PAS itu kini menjangkau usia hampir setahun sejak penubuhannya pada 16 September tahun lalu.

Anuar berkata, walaupun masih baharu jika hendak dibandingkan dengan PAS tetapi Amanah merupakan sebuah parti politik yang tersendiri dan unik.

Bagaimanapun katanya, Amanah tidak menolak untuk mengadakan kerjasama dengan parti lain dalam barisan pembangkang demi rakyat.

"Kita juga boleh bekerjasama dengan mana-mana parti politik (pembangkang) selagi ia untuk kebaikan dan menentang kemungkaran, katanya.

Selain itu, katanya, Amanah bakal menyambut ulangtahun pertama penubuhan parti itu di Kompleks Y Square Hall, Muar, Johor pada 24 September nanti.

Anuar berkata sambutan ulangtahun berkenaan secara tidak langsung memberi gambaran Amanah sudah bersedia untuk menjadi parti utama seperti parti politik arus perdana di negara ini.

Setakat ini, Amanah mempunyai 60,000 ahli dengan majoritinya Melayu melibatkan 150 bahagian dan menyasarkan lebih 80,000 ahli menjelang akhir tahun.








PAS, Amanah, Anuar Tahir

Artikel Lain