suria

16 Pati Ditahan Dalam Op Nyah 2 Di Ibu Negara

KUALA LUMPUR: Tiga wanita adalah antara 16 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Nyah 2 di sekitar ibu negara, Sabtu malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata operasi dari pukul 11 malam hingga 5 pagi tadi di sekitar Genting Court, Jalan Genting Klang dan Kondo Damai Sutra, Setapak melibatkan pemeriksaan terhadap 125 warga asing.   

"Pemeriksaan ditumpukan untuk mengesan Pati yang dipercayai menjadikan kawasan berkenaan sebagai penempatan serta warga asing yang giat melakukan jenayah," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad malam.

Amar Singh berkata ketiga-tiga wanita yang ditahan merupakan warga Somalia, Vietnam dan Indonesia manakala selebihnya dari Bangladesh, Pakistan, Nepal, China, Yemen, dan Nigeria.

Katanya mereka dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963, Akta Passport 1966 dan Akta Pemerdagangan Orang 2012.   

Operasi bersepadu yang dilaraskan Jabatan Ketenteraman Awam Polis Kuala Lumpur itu turut disertai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Sukarelawan Polis. -Bernama

Op Nyah 2

Artikel Lain