suria

MIC Akan Bantu Kekalkan Nama 'Little India' Di Jalan Tengku Kelana

KLANG: MIC, melalui kerajaan pusat, akan membantu mengekalkan nama 'Little India, Klang' bagi kawasan perniagaan di Jalan Tengku Kelana, di sini.

Presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata tindakan kerajaan Selangor yang tidak membenarkan kawasan berkenaan diwartakan dengan nama itu umpama 'melindung' peluang perniagaan yang wujud hampir 100 tahun di kawasan itu.

"Di Jalan Tengku Kelana ini kita lihat perniagaan mereka saling bergantung antara satu sama lain dan semakin membangun malah identiti yang dipamerkan juga menarik minat lebih ramai pengunjung untuk melihat sendiri warisan kebudayaan yang ada.

"Saya tidak hanya melihat daripada segi bangsa yang berniaga di sini namunapa yang lebih penting adalah perkembangan ekonomi masyarakat dan inilah yang mesti kita pertahankan," katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan MIC ke-22 Bahagian Klang pada Ahad.

Katanya konsep perniagaan di Jalan Tengku Kelana yang seakan-akan Little India di Brickfields, Kuala Lumpur perlu diketengahkan memandangkan jumlah peniaga di situ lebih besar dan ia juga mampu menarik pelancong.

Kerajaan Selangor menerusi Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebelum ini dilapor tidak membenarkan nama Little India diwartakan pada Jalan Tengku Kelana biarpun didesak Persatuan Usahawan Little India, Klang. -Bernama

Artikel Lain