suria

Pokemon Go Dilarang Di Kementerian Pertahanan

BATU GAJAH: Permainan maya Pokemon Go dilarang daripada dimain di kawasan Kementerian Pertahanan untuk mengelak sebarang ancaman keselamatan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. 

Beliau berkata larangan itu dibuat kerana dibimbangi permainan maya tersebut mungkin merakam aset-aset sensitif pertahanan negara semasa dimainkan.

"Sebab itu saya arahkan bahagian risikan jangan benarkan sekurang-kurangnyadi lokasi-lokasi sensitif.

"Kalau guna Google Earth ada kawasan sensitif seperti Empangan Bakun yang tidak boleh dilihat, jadi saya bimbang dengan aplikasi baharu ini ia peralatkan orang ramai khususnya warga kementerian untuk dedahkan lokasi sensitif," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Batu Gajah di sini, Sabtu.

Hishammuddin berkata beliau telah meminta panglima ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia supaya mengharamkan permainan itu di kawasan masing-masing yang dianggap sensitif.

"Saya telah menyatakan kepada mereka memang harus diharamkan tetapi keputusan mengharamkan di kawasan berkenaan bergantung kepada pihak yang berkuasa di kawasan-kawasan berkenaan," katanya.

Pada Jumaat, Panglima Tentera Darat Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyarankan anggotanya tidak bermain permainan maya Pokemon Go kerana dibimbangi mempunyai unsur pencerobohan dan ancaman keselamatan.

Beliau berkata permainan tersebut yang menggunakan Sistem Pengesan Kedudukan Global dikhuatiri mampu memberi ancaman terhadap keselamatan kem, peralatan atau anggota sendiri. -Bernama

Artikel Lain