suria

Atlet Paralimpik Negara Ditahan Cuba Seludup Wanita Thai

Gambar yang mendakwa atlet Paralimpik menyeludup wanita warga Thailand.

ALOR SETAR: Seorang atlet paralimpik badminton negara ditahan Jabatan Imigresen kerana dipercayai cuba menyeludup keluar seorang wanita Thailand menerusi pintu sempadan Sabtu lepas.

Ketua Imigresen Bukit Kayu Hitam, Nar Azaman Ibrahim berkata atlet perseorangan lelaki itu yang berumur 28 tahun ditahan bersama wanita tersebut yang berumur 25 tahun di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 6.30 petang.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati cop keluar masuk pada pasport wanita berkenaan adalah palsu.

"Pegawai bertugas lalu meminta lelaki terbabit agar meletakkan kenderaannya di tepi kaunter pemeriksaan untuk diperiksa lanjut, tetapi dia terus memandu keretanya ke pintu sempadan Thailand.

"Tiga anggota Imigresen terpaksa mengejar kenderaan lelaki terbabit bersama wanita itu di dalamnya dan berjaya menahan mereka di tempat letak kereta Kompleks Bebas Cukai kira-kira 500 meter dari kompleks ICQ tersebut," katanya.

Nar Azaman berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati pasport wanita Thailand itu mempunyai cop palsu.

Beliau berkata atlet berkenaan turut disiasat kerana membenarkan imigran haram berada dalam kenderaannya di samping menghalang tugas anggota penguat kuasa serta mengingkari arahan.

Lelaki terbabit kemudian dibebas jaminan polis sementara kereta Mercedes Benz C200 miliknya disita.

Artikel Lain