suria

Tiga Lelaki Mati Ditembak Dalam Kejadian Berasingan

PATTANI: Tiga lelaki termasuk seorang anggota tentera yang sedang bercuti pada Khamis mati dalam beberapa insiden tembakan di wilayah selatan Thailand yang bergolak.

Jurucakap polis daerah Yaha, Yala, Kapten Prachaya Hedmat berkata dalam kejadian 6.30 pagi Khamis, seorang penoreh getah mati ditembak sebelum mayatnya dibakar di Mukim Baroh, Yaha.

Menurutnya Chatchai Seithong, 55, dipercayai ditembak dengan pistol dari bahagian belakangnya oleh individu tidak dikenali dan mayatnya ditemui dalam keadaan rentung.

Dalam kejadian kedua pada 6.40 pagi di Jalan Pak Yaning-Jok Bongo, Muang di Yala, anggota tentera Anas Damuso, 26, ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan dipercayai menggunakan senapang AK47.

Mangsa berkhidmat dengan kompeni 41, Renjer di Kem Wang Paya dan mayatnya ditemui tidak jauh dari rumahnya, kata Ketua Polis Muang Kolonel Jamlong Suwaluck kepada media di sini, Khamis.

Katanya pasukan penyiasat polis menemui tujuh kelongsong peluru AK47 di tempat kejadian dan polis masih menyiasat motif kejadian itu.

Dalam satu lagi kejadian, seorang pegawai pejabat elektrik berusia 44 tahun maut ditembak ketika menjalankan tugas di Kampung Basar Wakseng, Pattani pada kira-kira 1.50 petang Khamis.

Polis berkata motif kejadian masih disiasat oleh polis. - BERNAMA

Selatan Thailand, pistol

Artikel Sebelum

Anwar Sokong Tun M

Artikel Berikut

Artikel Lain