suria

DNA Bernard Then Dihantar Ke Filipina Bantu Proses Pengecaman

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia telah menghantar sampel asid deoksiribonukleik (DNA) tebusan rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen yang dibunuh kepada rakan sejawatnya di Filipina untuk proses pengecaman ke atas mayat tanpa kepala yang ditemui di Pulau Jolo.

Mayat yang ditemui pada Isnin lalu, di Pulau Jolo telah dihantar ke Zamboanga City untuk pengecaman.

"Kita berharap rakan sejawat di Filipina akan menggunakan DNA yang kita sediakan untuk tujuan pengecaman," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu.

Pada Isnin lalu, jurucakap Pasukan Tentera Barat Mindano Filipina, Mejar Filemon Tan Jr berkata, tentera dari Filipina menemui mayat berkenaan di Sitio Lungon-lungon di Parang di Pulau Jolo pada kira-kira pukul 11 malam.

Beliau berkata, mayat tersebut ditemui dalam keadaan reput yang ditanam di dalam kubur di kawasan hutan berbukit.

Aktivis anti penculikan Selatan Filipina, Prof Octavio Dinampo berkata, mayat tersebut akan menjalani ujian DNA bagi mengesahkan sama ada ia adalah Then.

Beliau berkata, mayat berkenaan dibawa ke rumah mayat di Zamboanga Citu di mana satu kepala, dipercayai Bernard ditemui sejurus selepas ia dipenggal oleh penculik Abu Sayyaf.

Octavio berkata, ketua kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf, Al Habsi Misaya menuntut sebanyak 10 juta Peso (hampir RM1 juta) sebagai bayaran untuk memberi maklumat di mana mayat Then ditanam.

Tuntutan tersebut bagaimanapun tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa Filipina.

Dilaporkan, Then, 39, dipenggal kepalanya di lokasi terpencil yang menjadi kubu kuat militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

Then diculik oleh sekumpulan empat lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lepas bersama pengurus restoran itu, Thein Nyuk Fun, 50.

Thien bagaimanapun dibebaskan pada 8 November lepas.

Bernard Then

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain