suria

268 Syor Dikemukakan Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3

KUALA LUMPUR: Sebanyak 268 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3 bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan kerajaan negeri membuat penambahbaikan serta memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata daripada jumlah itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 102 syor kepada Kerajaan Persekutuan, 32 syor kepada Badan Berkanun Persekutuan dan 134 syor kepada kerajaan negeri.

"Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang program, pembinaan, penyenggaraan, perolehan, pengurusan hasil dan pengurusan syarikat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Isnin.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3 dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ambrin berkata dalam Laporan Siri 3 itu, sebanyak 69 pengauditan prestasi dan 16 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat persekutuan, negeri dan Badan Berkanun Persekutuan.

Selain itu, Kementerian Kewangan turut mengeluarkan Laporan Maklum Balas mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3 yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua Perkhidmatan terhadap isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Ambrin berkata secara keseluruhannya, Jabatan Audit Negara mendapati tahap prestasi pengurusan kewangan agensi bagi 2014 masih baik dengan 172 kementerian, jabatan dan agensi mendapat penarafan 'Sangat Baik' (4 bintang) berbanding 194 pada 2013 dan 143 pada 2012.

"Pencapaian ini memberi dorongan kepada Pegawai Pengawal untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan," katanya.

Setiap tahun, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi yang bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan dirancang, dilaksana dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program/aktiviti dan projek itu tercapai.

Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan dengan berhemat tanpa pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai faedah terbaik bagi perbelanjaan yang dibuat.

Kandungan dan sinopsis laporan siri 3 itu boleh dilayari dalam laman web Jabatan Audit Negara di http://www/audit.gov.my mulai hari ini dan sebarang pertanyaan atau pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 1 dan 2 dibentangkan di Parlimen masing-masing pada 6 April dan 15 Jun lepas.

Ketua Audit Negara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain