suria

Mayat Pelakon Kollywood Ditemui Di Air Terjun Di Bidor

- Gambar hiasan
IPOH: Mayat seorang pelakon lelaki Kollywood yang dikhuatiri lemas di Air Terjun Lubuk Degong, Kampung Chang, Bidor ditemui tersangkut di celah batu kira-kira 300 meter dari tempat kejadian, pagi Ahad.

L. Keshava Rajan, 25, warga tempatan yang berlakon di Selatan India itu, dilaporkan hilang selepas tergelincir dan dihanyutkan arus deras semasa berkelah bersama keluarganya di kawasan air terjun berkenaan pada kira-kira 5.45 petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Som Sak Din Keliaw berkata seramai 10 pegawai dan anggota menjalankan semula operasi mencari serta menyelamat bersama-sama empat agensi lain termasuk bomba sejak pukul 8 pagi Ahad.

"Operasi kami ditangguhkan petang semalam kerana cuaca gelap," katanya.

Som Sak berkata mayat mangsa dijumpai pasukan penyelamat pada kira-kira 9.30 pagi dalam keadaan terapung dan tersangkut pada batu di tebing sungaidalam jarak 300 meter dari lokasi kejadian.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Hutan Melintang, Teluk Intan di sini merupakan pelakon Kollywood Selatan India.

Filem pertama lakonannya bertajuk 'Ka Ka Ka Po' dan bakal ditayangkan bulan depan. 

Beliau sepatutnya berlepas ke Chennai hari ini bagi membuat persiapan terakhir bersempena majlis pelancaran serta tayangan perdana filemnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain