suria

Legoland Perkenal 'Ninjago Ride' Tahun Depan

NUSAJAYA: Taman Tema Legoland, di sini, akan memperkenalkan permainan 'Ninjago Ride' sebagai tarikan terbaharu kepada pengunjung pada tahun depan.

Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort, Mark Germyn berkata permainan tertutup itu dijangka dibuka pada November tahun depan dan diyakini dapat menarik kedatangan pengunjung berulang walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

"'Ninjago Ride' ini merupakan pertama seumpamanya di Asia kerana sebelum ini ia hanya terdapat di Taman Tema Legoland California sahaja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Legoland Holiday Extravaganza', di sini, Jumaat malam.

Lebih 100 pengunjung hadir ke pelancaran berkenaan yang dimeriahkan dengan persembahan penyanyi terkenal, Jacklyn Victor.

Mark berkata berkata pihaknya membuat pelaburan tinggi bagi menyediakan tarikan terbaharu itu dalam usaha memastikan pengunjung merasai keseronokan dan pengalaman baharu di taman berkenaan.

Beliau berkata tarikan terbaharu itu juga penting bagi memastikan Taman Tema Legoland terus bersaing dengan taman tema lain di negara ini.

Katanya, pada masa ini Taman Tema Legoland menerima sambutan menggalakkan daripada pelancong tempatan serta antarabangsa seperti Indonesia, Australia, India, Asia Barat dan Afrika Utara.

"Terdapat juga pengunjung yang datang secara berulang ke taman tema ini iaitu enam hingga lapan kali setahun," katanya.

Menurutnya, selain 'Ninjago Ride', pelbagai aktiviti lain telah diatur dalam kalendar taman tema tersebut sepanjang tahun depan termasuk pembukaan panggung wayang Lego 4D, sambutan Tahun Baru Cina dan 'Miniland Tour'.

Legoland

Artikel Sebelum

Empat Samseng Sekolah Ditahan

Artikel Berikut

Artikel Lain