suria

Speaker Tegur Adun Perak Sibuk Bahas Isu Katak Berbanding Bajet 2016

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri S.K.Devamany menegur tindakan segelintir anggota dewan berkenaan yang sibuk membahaskan isu katak berbanding isu lebih penting iaitu Bajet 2016 pada persidangan Jumaat.

Isu itu timbul selepas Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar) mengemukakan usul untuk merujuk Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri atas tindakan beliau yang didakwa menyebar atau menyiarkan bunyi katak melalui mikrofon di tempat duduknya pada hari pertama persidangan.

"Isu (di hadapan) kita adalah Bajet 2016 dan kita bahas pasal katak, adoi, RM1 bilion di depan kita untuk kepentingan rakyat tetapi (isu) bunyi katak diperdanakan," keluhnya sebelum ketawa.

Beliau berkata demikian sebelum mengarahkan agar usul itu diputuskan melalui undian suara mengikut Peraturan 47 Perintah Tetap Dewan Negeri Perak.

Usul itu, yang disokong Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai), kemudian ditolak selepas Devamany mendapati lebih banyak suara tidak bersetuju.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata  persidangan dewan tidak sepatutnya dijadikan tempat permainan cetusan atau letusan perasaan sesuka hati anggotanya. 

"Mengapa mesti kita bincang isu katak sehingga menjadi satu isu utama dalam sidang dewan pula, saya harap perkara-perkara yang sebegini dielakkan, jangan menjadikan sidang dewan seperti itu.

"Kita nak setiap orang menjadikan Dewan kita untuk berbahas perkara-perkara yang substantif, bukan menjadikan ia sebagai tempat berbincang perkara katak dan yang kena tuduh katak pula terlalu sensitif dan panggil sidang akhbar hanya untuk berbincang tentang katak, walaupun kita ada katak yang melompat," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Jumaat. 

Beliau juga menyifatkan tindakan pembangkang membawa usul agar tindakan diambil berhubung isu bunyi katak ternyata hanya membuang masa dewan apabila tujuh ADUN mengambil masa kira-kira setengah jam untuk berbahas.

"Kita juga boleh lakukan perkara sama apabila pembangkang bertindak menayang plakad, kita boleh buat usul, (tindakan ini) sangat bertentangan dengan peraturan dewan dan tindakan boleh diambil terhadap mereka, tetapi kami tidak mahu lakukan sebab buang masa sahaja dan rakyat tahu ia bersifat sangat kebudak-budakkan," katanya.

Zambry turut ditanya sama ada beliau akan meneruskan tindakan perundangan terhadap Leow Thye Yih (DAP-Aulong).

"Saya akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Aulong kerana dia buat kenyataan fitnah dan mengulangnya di luar dewan. Ia bukan soal wang, ia berkaitan integriti dan reputasi saya," katanya.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain