suria

Kursus Kahwin Untuk Pelajar Malaysia Di Luar Negara Tak Mahal - Jawi

Paimuzi Yahya
BANGI: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mempertahankan langkah mengadakan kursus pra perkahwinan untuk pelajar Malaysia di luar negara kerana ia dianggap sebagai langkah 'mengurangkan kos'.

Pengarah Jawi Paimuzi Yahya berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan National Oversight & Whistleblowers (NOW), yang mempersoalkan tentang rasional Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia  (YaPEIM) menjalankan kursus seperti itu di luar negara.

Beliau menjelaskan bahawa Jawi, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), biasanya mengumpul kira-kira 150 pelajar yang mengambil bahagian dan hanya perlu menanggung perbelanjaan penceramah dari Malaysia.

"Biasanya, dua hingga tiga orang penceramah yang akan pergi. Tidakkah ini bermakna kosnya murah?

"Bercakap dari segi ekonomi, kita akan menjimatkan banyak wang, kerana pelajar tidak perlu menjalani kursus yang sama di Malaysia," kata Paimuzi pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Beliau berkata kursus itu yang telah dijalankan di beberapa tempat seperti di Amerika Syarikat, London dan Paris, adalah wajib untuk pelajar yang merancang untuk berkahwin.

"Peraturan ini memberi manfaat kepada mereka dan mereka tidak perlu menjalani kursus pra-perkahwinan di Malaysia.

"Dan sijil yang akan mereka terima adalah sah di seluruh negara dan tak mempunyai tarikh tamat tempoh," katanya.

Mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Jakim mahu memaksa semua orang untuk mengikut 'versi Islam' jabatan itu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustafa enggan mengulas.

"Terpulang kepada beliau. Kami tidak mahu komen," katanya kepada pemberita.

Bekas perdana menteri itu mendakwa Jakim mahu 'mengislamkan segala-galanya'.
Yapeim, Jawi, NOW, kursus kahwin, Paimuzi Yahya

Artikel Lain