suria

1MDB: CEO The Edge Beri Keterangan Kepada Polis

Ho Kay Tat.

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan penerbit The Edge, Ho Kay Tat telah memberikan keterangannya kepada pihak polis berhubung pemilikan dokumen berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ho berkata, kesemua dokumen itu telah diserahkan kepada Bank Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi membantu siasatan mereka.

"Saya juga telah memberi keterangan kepada JSJK," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ho berkata, The Edge memiliki dokumen-dokumen berkaitan dengan usahasama 1MDB dengan PetroSaudi International selepas mengadakan pertemuan dengan seseorang yang sedia memberi penerangan berhubung perkara itu awal tahun ini.

Beliau tidak mendedahkan sama ada individu berkenaan merupakan bekas eksekutif PetroSaudi, Xavier Justo yang ditahan polis Thailand kerana cuba memeras ugut bekas majikannya.

Justo didakwa telah bertemu dengan beberapa pemimpin pembangkang dan pihak media, termasuk Ho dan pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

"Individu ini menunjukkan kami beribu-ribu emel dan lampiran dokumen. Kami membaca kesemuanya dan kesahihannya diyakini kerana jumlahnya yang besar dan kemasukan emel.

"Kami mempunyai seorang pakar forensik IT (teknologi maklumat) yang mengesahkan bahawa tiada sebab untuk bimbang bahawa kesemuanya adalah palsu.

"Apa yang kami baca mengejutkan kami. Apa yang sepatutnya menjadi usahasama bagi membawa manfaat dari segi ekonomi kepada negara tidak lebih daripada satu skim penipuan berbilion ringgit dari Malaysia oleh satu kumpulan kecil rakyat Malaysia bersama rakan asing mereka," kata Ho.

Pada Selasa, The Edge kini bersedia ke mahkamah untuk mempertahankan artikelnya berhubung firma pelaburan 1MDB dan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

"Kami ingin mengulangi apa yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa kami bersedia mempertahankan apa yang disiarkan berkaitan Jho Low dan 1MDB," kata akhbar kewangan itu dalam catatan editorialnya pada Selasa.

1MDB, The Edge, PetroSaudi, Ho Kay Tat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain