suria

1MDB: Dow Jones Masih Gagal Beri Pengesahan - Peguam

KUALA LUMPUR: Penerbit The Wall Street Journal (WSJ), Dow Jones pada Selasa masih gagal untuk memberi pengesahan berhubung pendiriannya dalam artikel yang mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak menyelewengkan wang hampir AS$700 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Ketika dihubungi pemberita, peguam Wan Azmir Wan Majid daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang mewakili perdana menteri, berkata tempoh 14 hari yang diberi kepada Dow Jones untuk menjawab surat pengesahan berhubung pendiriannya itu berakhir pada Selasa.

Beliau juga berkata, surat pengesahan yang dihantar pada 8 Julai lepas kepada penerbit WSJ itu masih belum dijawab sehingga kini.

Ketika ditanya tindakan yang akan diambil sekiranya Dow Jones enggan memberi sebarang jawapan berhubung perkara itu, Wan Azmir berkata perdana menteri mempunyai beberapa pilihan undang-undang yang akan diputuskan kemudian.

"Ia adalah kerana keengganan Dow Jones memberi sebarang jawapan atau penjelasan berhubung dakwaannya yang secara berhati-hati diperiksa berhubung aspek undang-undang dan faktanya yang disiarkan baru-baru ini," kata peguam itu.

Pada 8 Julai lepas, perdana menteri melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak telah menghantar surat kepada Dow Jones meminta pengesahan tentang pendiriannya berkaitan dakwaan dalam artikel-artikel yang disiarkan pada 2 dan 6 Julai.

Artikel-artikel itu didakwa dikeluarkan, diterbit dan disebarkan melalui laman portal WSJ iaitu www.wsj.com. - BERNAMA

Wall Street Journal, Dow Jones, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain