suria

Set Kereta Api Baharu Masih Diuji - Liow

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) antara Kuala Lumpur-Padang Besar yang bermula pada 10 Julai lepas belum lagi menggunakan kereta api baharu yang ketika ini masih diuji.

Sebaliknya Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, laluan itu pada masa ini menggunakan kereta api sedia ada sehingga dua set tren baharu untuk tujuan itu mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Saya menyerahkan kepada pasukan teknikal Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan SPAD untuk menilai ciri-ciri keselamatan kereta api baharu itu," kata beliau kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di sini, Selasa.

Liow yang juga Presiden MCA mengulas laporan berita baru-baru ini mengenai dua set kereta api baharu yang diperoleh KTMB daripada CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd dari China yang masih gagal mendapat kelulusan SPAD untuk memulakan operasinya.

Kelewatan kelulusan itu dikatakan ada kaitan dengan sistem keselamatan perlindungan automatik tren (ATP).

"Sebenarnya tiada masalah. Cuma ia mungkin perlukan sedikit pelarasan kepada sistem ATP," katanya.

Sebelum ini, KTMB melancarkan perkhidmatan ETS untuk laluan Kuala Lumpur-Padang Besar pada 10 Julai lepas.

ETS, SPAD, KTMB, Liow Tiong Lai

Artikel Lain